[DIKEMASKINI] BINTANG remaja Bollywood, Zaira Wasim mengambil keputusan meninggalkan dunia lakonan dengan alasan kerjayanya menganggu kehidupan sebagai umat Islam.
Zaira, 18, memenangi Anugerah Anak Kebangsaan dalam Pencapaian Luar Biasa menerusi peranannya dalam filem Dangal yang menampilkan pelakon Aamir Khan itu berkata, dia tidak boleh bertoleransi antara agama dianuti dengan karier lakonannya.
Pelakon itu berkata, perjalanan hidupnya sebagai pelakon sangat meletihkan dan dirinya sentiasa berdepan dengan dugaan.
"Hidup ini terlalu pendek namun terlalu lama untuk memerangi jiwa ini.
"Oleh itu, hari ini saya buat keputusan dengan baik dan secara rasminya memberitahu pembubaran saya dalam bidang ini," katanya memuat naik status di Facebook miliknya semalam.
Katanya, walaupun meraih populariti menerusi filem berkenaan, hatinya tidak gembira dengan apa yang diterimanya.
"Bidang ini membawa banyak cinta, sokongan kepada saya, tapi apa yang berlaku sebenarnya membawa saya ke arah kejahilan.
"Saya tidak sedar secara diam-diam iman saya terjejas. Saya bekerja di persekitaran yang secara konsisten menganggu iman saya. Hubungan saya dengan agama terancam," katanya.
Difahamkan, filem Dangal berdasarkan kisah seorang ahli gusti India itu mendapat kutipan tertinggi di India pada 2016.
Sementara itu, Mufti Ismail Menk juga menyokong keputusan Zaira meninggalkan kerjaya lakonannya. - BBC