ISKANDAR PUTERI - Kira-kira 70 hingga 80 peratus belia di Johor aktif dalam pelbagai aktiviti persatuan, namun tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
Exco Pembangunan Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, berikutan itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Belia dan Sukan negeri mahu mengadakan jelajah ke seluruh Johor untuk menjejaki golongan tersebut.
Menurutnya, jelajah tersebut yang akan diadakan selama tiga bulan hingga September depan dan akan diketuai beliau sendiri dan akan turut disertai beberapa exco lain, wakil Kementerian Belia dan Sukan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
"Dianggarkan terdapat kira-kira 70 hingga 80 peratus belia di negeri ini aktif dalam pelbagai aktiviti persatuan, namun, mereka ini tidak berdaftar dengan ROY.
"Oleh, kita mengambil inisiatif melakukan jelajah ini untuk mengenalpasti golongan ini seterusnya mendapatkan pelbagai input daripada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sheikh Umar berkata, inisiatif berkenaan juga bertujuan menyantuni golongan berkenaan sekaligus menggalakkan mereka terus aktif dalam pelbagai persatuan.
"Kita mahu ada sentuhan dengan golongan belia ini. Mereka ini entiti yang tidak dibawa ke tengah atau terpinggir. Jadi kita akan buat town hall untuk mereka menerusi jelajah ini," katanya.