KAJANG - Kejadian pecah rumah yang dipercayai dilakukan geng Ah Hau berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya lima lelaki dalam serbuan di sekitar daerah ini dan Cheras, 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, tangkapan membawa rampasan barang kes dan peralatan pecah rumah.
Katanya, antara rampasan adalah besi kuku kambing, parang, pemutar skru, spanar, playar serta pelbagai jenis telefon bimbit, komputer riba serta wang tunai.
"Siasatan mendapati kumpulan Ah Hau yang didalangi suspek berusia lingkungan 30-an ini terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar Kajang, Cheras, Petaling Jaya dan Shah Alam.
"Kita percaya dengan tumpasnya kumpulan ini, kira-kira 15 kes pecah rumah diselesaikan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, hari ini.
Dalam pada itu, polis masih giat mencari tiga lagi individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
Katanya, individu itu adalah Lim Y Ngjin, 26, beralamat Blok A1-08 Taman Taming Jaya, Balakong, Kajang. Seterusnya, Virgina Gan Kwee Eng, 24, beralamat No 99 Jalan Junid Dalam Muar, Muar dan Chong Wai Fong, 23, beralamat No 67 Kampung Baru Balakong, Sri Kembangan, Selangor.
"Orang ramai yang punyai maklumat tentang individu ini boleh hubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Maheswary di talian 016-2790366," katanya.
Dalam kes berlainan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang giat mengesan dua saksi untuk perbicaraan di Mahkamah Kajang berhubung kes samun kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Kajang.
"Saksi tersebut adalah Chay Ah Ya, 63, beralamat No 356, Lorong S2 E, 12/2, Garden Homes, Seremban 2, Negeri Sembilan dan Lee Hean Fah, 66, beralamat No 249, Kampung Baru Rahang, Seremban, Negeri Sembilan," katanya.