KAJANG - Kegiatan perjudian online antarabangsa yang raih kutipan pertaruhan mencecah RM300,000 setiap hari terbongkar dengan tertangkapnya 56 orang warga China termasuk lapan wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Sungai Long, di sini 26 Jun lalu.
Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, semua suspek sedang leka menjalankan kegiatan perjudian online.
"Semua suspek terbabit yang berusia 18 hingga 56 tahun tiada dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah.
"Mereka ini diupah dengan bayaran RM4,000 sehingga RM7,000 sebulan untuk melakukan kegiatan terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, siasatan mendapati sindiket ini juga menjalankan kegiatan judi online di Kanada, China dan Hong Kong sejak dua bulan lalu hingga mengaut untung mencecah kira-kira RM18 juta.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menjadikan kondominium terbabit sebagai tempat beroperasi setiap 24 jam kononnya bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.
"Dalam serbuan itu, polis merampas 30 komputer riba, 45 telefon bimbit dan dua modem internet yang digunakan untuk kegiatan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek kini direman dan akan disiasat mengikut Sekyen 4(1) (C),(D) dan (E) Akta Pertaruhan 1953.
Tegasnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik kondominium berkenaan serta dalang terlibat.