Kediaman rasmi KM Pulau Pinang boleh diduduki hujung Julai ini

Iklan
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Negeri Zairil Khir Johari (kanan) bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Ir Shahabuddin Mohd Muhayidin (tengah) semasa melawat kediaman rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebelum diduduki olehnya yang sedang dibaik pulih di Seri Teratai, Jalan Macalister hari ini. - Foto BERNAMA

GEORGE TOWN - Kediaman rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang di Seri Teratai, Jalan Macalister di sini dijangka boleh diduduki hujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari berkata, kerja-kerja membaik pulih kediaman itu kini 85 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya 15 Julai ini.

Iklan
Iklan

"Kediaman ini tidak ada orang duduk untuk jangka masa yang lama dan mengalami banyak masalah. Keputusan telah dibuat oleh kerajaan negeri untuk membaik pulih rumah ini supaya ketua menteri boleh pindah balik dan menggunakan kemudahan ini.

Kerja-kerja membaik pulih kediaman Ketua Menteri ini telah bermula dengan tarikh milik tapak pada 14 Januari lepas dan tempoh kontrak adalah selama 26 minggu dengan harga kontrak RM1.05 juta. Semuanya mengikut jadual, maksudnya ketua menteri dah boleh pindah masuk hujung bulan ini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke kediaman itu, di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata masalah utama yang dikenal pasti di kediaman itu adalah masalah anai-anai dan terdapat dua sarang anai-anai dijumpai di situ.

"Tindakan telah diambil dengan membuat 'tiga lapis pertahanan terhadap anai-anai’ termasuk meletakkan ubat bagi menghalang anai-anai ini pergi ke dinding dan sebagainya. Siling semua kena buat balik, mana-mana lubang juga telah dibaiki. Secara am kesemuanya agak baik dan hampir siap," katanya.

Iklan

Zairil berkata, selain rawatan anai-anai, antara skop kerja lain termasuk menaik taraf keseluruhan tandas dan bilik air; dapur; mengganti permaidani dan kemasan dinding kertas di bangunan kediaman; baik pulih dinding, tiang, pintu, tingkap dan jeriji; bina baharu dan mengecat siling; serta mengecat luar dan dalam bangunan itu.

Bangunan seluas 8,000 kaki persegi itu dibina di zaman kolonial pada tahun 1926 yang terletak di Jalan Macalister berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St George.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menetap di kediaman itu dalam tempoh yang singkat sebelum berpindah ke rumahnya di Jalan Pinhorn, di sini berikutan masalah anai-anai.

Sementara menunggu kerja-kerja baik pulih siap, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berulang alik dari rumahnya di Balik Pulau ke pejabatnya di Komtar. - Bernama