PASIR GUDANG - Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA) Taman Pasir Putih mempertikaikan cara kerajaan menangani isu pencemaran di Pasir Gudang yang sudah berlarutan sehingga hari ini.
Timbalan Pengerusinya, Mohd Rafee Abdullah berkata, lebih lama isu itu tidak diselesaikan, lebih banyak nyawa yang terancam terutama anak-anak yang ke sekolah.
"Kami terkilan dengan apa yang berlaku. Daripada tutup sekolah, lebih baik tutup kilang tapi sampai hari ini kilang-kilang bahaya masih beroperasi.
"Maklumat sahih tak sampai pada penduduk. Kualiti udara kata baik tapi baik yang macam mana? Apa bacaan udaranya? Kami tak faham macam mana pihak berkuasa buat kerja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Pasir Putih hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Rafee menuntut kerajaan segera mengadakan sesi 'town hall' dengan penduduk bagi menjelaskan keadaan tersebut.
"Kami dah minta pihak kerajaan adakan 'town hall' dengan penduduk tapi sampai hari ini tiada langsung pertemuan dengan penduduk.
"Kerajaan mahu kita dapatkan maklumat sahih tapi mereka tak beri penerangan. Kami penduduk tak tahu langsung keadaan sebenar di tempat kami sendiri. Sampai sekarang kawasan kami masih berbau tapi kami tak tahu selamat atau tidak," katanya.
Beliau juga mendakwa pihaknya terpaksa menyiasat sendiri bagi mengetahui punca yang menyebabkan ramai anak mereka terjejas.
"Kami terpaksa siasat sendiri sebab nak tahu. Kami ada bukti sisa toksik pencemaran Sungai Kim Kim itu masih disimpan dan tidak dilupuskan di sebuah kilang di Pasir Gudang Baru.
"Kilang yang didakwa di mahkamah sebab buang sisa di Sungai Kim Kim juga masih mengeluarkan bau yang kuat," katanya.
Beliau juga memberitahu pihaknya telah bersetuju untuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya isu pencemaran itu berlarutan.
"Kalau masih berterusan, saya cadang sesi sekolah ditukar ke sebelah petang dan malam. Sampai bila nak tutup sekolah tiap kali berlaku pencemaran seperti ini.
"Sesi pembelajaran anak-anak akan terganggu, lebih-lebih lagi yang nak menghadapi peperiksaan. Langkah akhir kami telah setuju untuk cadang tubuh RCI jika masih tak selesai juga," katanya.