KOTA BHARU - UMNO Kelantan yakin pengumuman Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas sebagai presiden parti itu akan memperkukuhkan gerak kerja penyatuan antara UMNO dan Pas.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, keputusan Ahmad Zahid untuk meneruskan tanggungjawabnya itu selepas bercuti panjang sejak Disember lalu dilihat satu langkah positif, selaras dengan mandat diberi perwakilan daripada peringkat akar umbi.
"Semua pihak perlu menghormati keputusan presiden dan kita mesti memperkukuhkan parti, secara tidak langsung gerak kerja parti akan diperkuatkan dengan keputusan terbaru ini,” katanya.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, UMNO Kelantan yakin dengan sokongan dan kerjasama pemimpin di semua peringkat termasuk sokongan ahli dalam menjadikan UMNO sebagai parti yang kuat.
Beliau berkata, rakyat mula menunjukkan kepercayaan sekali gus meningkatkan bilangan pengundi terbanyak.
Di peringkat negeri, beliau turut memberi jaminan untuk terus memperkukuhkan perpaduan bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) lumpuh pada pilihan raya umum akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: Terserah ahli terima atau tidak: Ahmad Zahid
Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan kembali bertugas sebagai Presiden UMNO selepas mengambil keputusan menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 18 Disember lalu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu semua pimpinan bersama-sama mengembalikan semula roh UMNO setelah menerima pandangan pelbagai pihak di beberapa di beberapa bahagian termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika bercuti.
"Saya bertanggungjawab untuk bersama-sama dengan kepimpinan UMNO sedia ada untuk terus bersama-sama dan saya juga meminta kepada mereka yang tidak berada di dalam arus perdana kepimpinan UMNO untuk bersama-sama dengan saya," katanya.