SHAH ALAM - Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) kini beroperasi di Desa Alam Seksyen U12 di sini.
Wakil MSOSH, Ts Mohd Rafizi Rahmad berkata, bangunan tiga tingkat di premis rumah kedai itu mula beroperasi sejak Februari lalu
Menurutnya, ia menggantikan pejabat lama MSOSH yang sebelum ini beroperasi di Bangunan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Petaling Jaya.
"Bangunan baharu ini dilengkapi kemudahan dua bilik latihan dan satu dewan seminar untuk latihan keselamatan dan kesihatan pekerja. Ia mampu memuatkan sehingga 80 peserta dalam satu masa," katanya.
Pembukaan bangunan MSOSH yang disertakan dengan jamuan raya Aidilfitri dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Ir Omar Mat Piah dan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye.
MSOSH sebuah organisasi meningkatkan dan mempromosikan keselamatan dan kesihatan di semua tempat kerja dan industri.
Ia ditubuhkan sejak April 1971 di bawah Persatuan Keselamatan Industri Malaysia sebelum ditukar nama kepada MSOSH pada 1991 sehingga kini.
Mahfuz dalam ucapannya memuji usaha MSOSH yang proaktif dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
"Tahniah kepada MSOSH yang berjaya memiliki bangunan sendiri. Saya harap MSOSH terus berperanan menyuburkan kepentingan aspek keselamatan pekerja melalui program latihan dan perkongsian maklumat," katanya.