MENTAKAB - Seorang warga emas bimbang dengan kewujudan tembok berhampiran rumahnya di Kampung Chatin Atas di sini yang wujud sejak lebih sebulan yang lalu.
Ibu tunggal terbabit, Robiah Ramli, 68, berkata tembok itu dibina pemaju projek perumahan di kawasan berhampiran.
Robiah memberitahu, setiap kali hujan dia merasa gusar jika berlakunya runtuhan tanah.
"Buat masa ini, memang saya ada nampak air turun tapi tak sampai banjir kilat ataupun tanah runtuh.
"Cuma risau kalau ada benda lebih teruk berlaku jadi saya berharap ada pemantauan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab," katanya tinggal di kampung itu lebih 30 tahun.
Tinjauan ke lokasi terbabit dibuat oleh ADUN Mentakab Woo Chee Wan, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Ahmad Tarmizi Ismail dan Penolong Jurutera Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Rozilani Lias.
Rozilani memberitahu, pihaknya pernah mendapat aduan kali pertama pada Februari lalu.
"Kita telah memanggil pemaju terbabit dan dalam masa pihak perunding telah membuat rekaan dalam bentuk RC Wall iaitu dua lapis.
"Kita berharap dengan rekaan ini kegelisahan tuan rumah dapat dikurangkan dan kita berpuas hati serta sentiasa memantau kerja-kerja pembinaan ini dan memastikan aliran air ke jalan utama.
Menurutnya, dari segi jarak tembok hingga ke sempadan tanah milik pengadu adalah kira-kira enam meter.
"Pemandangan bawah nampak macam terlalu dekat namun sebenarnya tidak," tambahnya.
Sementara itu, Chee Wan berharap pemantauan sentiasa dilakukan oleh pihak MPT untuk mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.
Menurutnya beliau berpuas hati dengan penjelasan pihak MPT mengenai pembinaan tembok tersebut sekaligus dapat mengurangkan keresahan ibu tunggal terbabit.