Durian oh durian

Iklan

MUSIM durian kembali lagi. Di mana-mana sahaja kita akan melihat ramai yang menjual durian. Daripada durian kampung sehinggalah durian yang paling mahal seperti musang king turut menggila di pasaran sekarang ini.

Disebabkan kini berlaku lambakan durian, ada yang menjual RM2 sekilogram durian kampung dan RM8 sekilogram bagi durian kahwin.

Iklan
Iklan

Bagi mereka yang kurang berkemampuan terutamanya keluarga yang mempunyai ramai anak, sudah pasti pilihan mereka ialah durian kampung. Paling tidak pun durian kahwin yang kini boleh diperoleh bawah RM10 sekilo. Itu pun sudah mencukupi dan puas makan.

Berbeza dengan ‘hantu durian’, tidak kira berapa harganya jika sudah terlalu minat, harga durian mencecah ribuan ringgit sekilogram pun sanggup dibeli. Pendek kata alah membeli, menang memakan.

Iklan

Apa pun harga, biarpun berbeza murah atau mahal, durian tetap durian. Ikut selera dan kemampuan masing-masing.

Penggemar raja buah ini bukan orang berduit sahaja boleh makan, orang biasa-biasa juga boleh menikmatinya jika kena dengan cara dan selera.

Iklan

Durian kampung, D24, I0I, durian hitam, udang merah, musang king atau kucing tidur, apa jua nama gelarannya, ia tetap durian.

Kenikmatan rasa durian itu bukan terletak pada harganya, sebaliknya terletak kepada si pemakan, lain orang lain seleranya.

Baru-baru ini, penulis sempat berkunjung ke salah sebuah kebun durian di Mantin, Nilai di Negeri Sembilan. Hampir semua pokok duriannya berbuah lebat, kebun ribuan ekar itu diusahakan oleh seorang pak cik dengan dibantu beberapa pekerja.

Kebun yang dijaga cantik itu dipenuhi dengan puluhan pokok durian daripada pelbagai jenis baka. Penulis sempat merasai keenakan buah durian di situ. Isinya yang cantik, kuning, gayanya yang melingkar di pangsa kulit durian seakan-akan menggoda dan meminta untuk mengambilnya.

Keenakan rasa durian itu tidak boleh digambarkan, hanya si pemakan yang boleh merasainya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar, durian Mantin merupakan salah satu durian yang menjadi pilihan ramai, selain durian Jelebu. Harganya yang sangat berpatutan, murah dan sentiasa memenuhi kehendak pasaran menyebabkan durian Mantin dikenali ramai.

Bukan sahaja masyarakat setempat, bahkan mereka yang duduk di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor juga ada yang sanggup datang ke Mantin untuk mencari raja buah itu.

"Durian Mantin bukan sahaja murah, tetapi keenakan rasa dan tekstur isinya yang lemak manis menjadi sebab utama orang luar sanggup datang ke Mantin semata-mata untuk membeli durian.

"Sepanjang jalan Mantin lama ini, kita boleh melihat pelbagai jenis durian dijual, daripada berniaga di bawah pokok (kebun durian) sehinggalah peniaga di gerai buah, semuanya akan dipenuhi pengunjung,” katanya.

Ada lebih 30 gerai yang menjual durian menyebabkan berlaku kesesakan jalan terutama pada hujung minggu.

Pesaing yang terlalu ramai di sekitar Mantin menyebabkan peniaga berlumba-lumba menawarkan harga yang terbaik dan termurah. Sudah pastinya pembeli yang paling beruntung kerana disajikan dengan pelbagai tawaran harga yang berpatutan.

Bagaimanapun, pembeli harus bijak membeli. Jika tidak mahu tertipu dengan tawaran-tawaran istimewa, mereka seharusnya melihat terlebih dahulu buah yang dijual sebelum terus membelinya. Adakala buah yang dijual sudah busuk, tidak masak dan mempunyai isi yang tidak baik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan itu, musim durian membawa rezeki kepada peniaga sehingga ada yang mampu menjual lebih lapan tan metrik buah sehari.

Apa yang menarik tentang durian ialah orang sanggup datang dari jauh, merantau seluruh negeri semata-mata untuk mendapatkan bekalan durian yang sedap, isi mengancam dan yang paling utama harga yang murah.

Tidak hairanlah Pesta Durian yang akan diadakan bermula Jumaat ini di Pulau Pinang menyasarkan tarikan lebih 50,000 penggemar raja buah memandangkan peminat buah itu begitu ramai tanpa mengira latar belakang.

Apa yang penting, berbelanjalah mengikut kemampuan diri. Jangan pula ada yang sampai berhutang semata-mata hendak beli durian musang king.

* Sarinah Mat Kasim ialah Ketua Wartawan Edisi Melaka/Negeri Sembilan