PELABUHAN KLANG - Hasrat empat pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pergi bekerja terbantut apabila dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) di Jeti Nelayan Foreshore, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, tangkapan itu dibuat semasa rondaan Ops Pensura di lokasi terbabit kira-kira jam 7.30 pagi.
Katanya, empat PATI berusia lingkungan 30 hingga 47 tahun termasuk dua wanita ditahan.
"Pemeriksaan mendapati kesemua mereka adalah warga Indonesia dan dikesan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Kesemua mereka telah dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Khairuddin berkata, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati wanita terbabit adalah pekerja tukang cuci, manakala lelaki sebagai tukang rumah.
Katanya, ketika ditahan dipercayai mereka ini dari Tanjung Harapan, Klang dan dalam perjalanan hendak ke tempat kerja di Pelabuhan Klang.
"Siasatan juga mendapati mereka ini dipercayai sudah berada di dalam negara sejak kira-kira empat tahun lalu. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.