PRK Cameron Highlands: Wan Rosdy dapat restu Tok Mat

Iklan
Ab Hamid diiringi Mohammad Fakhruddin merakamkan gambar bersama penerima bantuan pada program Majlis Bantuan Khas Persekolahan Menteri Besar Pahang di MTNP, di sini hari ini.

KUANTAN- BN mengambil langkah berbeza yang buat julung kalinya melantik Pengerusi Perhubungan BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi PRK Parlimen Cameron Highlands.

Setiausaha Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ab Hamid Nazahar berkata pengarah pilihan raya selalunya akan dipimpin daripada pusat namun kali ini ia diterajui Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelantikan itu telah diputuskan oleh Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan yang memberikan mandat sepenuhnya kepada Wan Rosdy.

"Pelantikan itu relevan dengan keadaan semasa. Kemungkinan ia mengambil kira bahawa negeri ini merupakan salah satu daripada negeri di bawah kepimpinan BN.

Iklan

"Selain faktor Parlimen Cameron Highlands itu sendiri kerana salah satu kerusi Dun Jelai diwakili Datuk Seri Wan Rosdy sebagai Adun di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Majlis Bantuan Khas Persekolahan Menteri Besar Pahang di Dewan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), di sini hari ini.

Iklan

Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mewakili Menteri Besar menyampaikan sumbangan.

Dalam pada itu, Ab Hamid berkata Badan Perhubungan Umno Pahang menyambut baik dan menyokong penuh pelantikan Wan Rosdy bagi PRK di negeri ini.

"Kita berterima kasih dengan pelantikan ini yang kita lihat merupakan cabaran kepada Datuk Seri Wan Rosdy selaku Pengerusi Perhubungan Umno negeri dan juga Menteri Besar Pahang.

"Di Cameron Highlands, walaupun cabarannya besar bagi kita namun kita akan buat yang terbaik dan memberi fokus penuh dalam membantu calon.

"Kita juga akan menggerakkan jentera kita di negeri ini sama ada Badan Perhubungan Umno negeri, Exco kerajaan negeri, wakil rakyat dan semua pihak yang terlibat untuk memberikan yang terbaik pada PRK ini,” katanya.