PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama beberapa agensi pembimbing telah mengorak langkah proaktif bagi membantu industri mikro memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, program pembangunan industri mikro bersama agensi pembimbing pada tahun 2017 telah membuahkan hasil yang memberangsangkan, di mana 75 pengusaha mikro di bawah naungan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) telah berjaya mendapat SPHM.
"Inisiatif ini juga telah diperluaskan bersama agensi-agensi pembimbing yang lain dari semasa ke semasa.
"Peningkatan bilangan industri mikro Bumiputera yang mendapat SPHM juga telah menampakkan peningkatan yang positif, contohnya Industri Kecil Sederhana Bumiputera pada 2017 mencatat 214 industri berdaftar dan pada 2018, meningkat kepada 231 industri.
"Manakala Industri Mikro Bumiputera pula pada 2017 mencatatkan 1,501 industri mendaftar, dan pada 2018 mencatatkan pendaftaran sebanyak 1,659 industri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, peningkatan tersebut jelas membuktikan bahawa peranan agensi pembimbing amatlah penting untuk membangunkan industri dengan sokongan dan kerjasama pihak Jakim.
"Malaysia International Halal Aademy (MIHA) yang merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Jakim di bawah Majlis Halal Malaysia telah menggarap kerjasama bersama rakan strategi MIHA bagi melaksanakan usaha pembangunan kapasiti Halal Malaysia di kalangan pemohon SPHM,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Nordin berkata, seringkali paradigma lama di kalangan industri berkaitan permasalahan yang dihadapi di dalam proses permohonan SPHM masih didengari seperti lambat, mahal dan susah.
"Lambat: Dikatakan tempoh masa untuk memproses permohonan adalah terlalu lama hingga tiga ke enam bulan. Namun Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) yang telah dilaksanakan mulai tahun 2017 membuktikan proses SPHM telah dapat diselesaikan dalam tempoh kurang dari 30 hari.
"Mahal: Walaupun kadar yuran SPHM yang dikenakan oleh kerajaan bagi industri mikro hanya RM100 setahun, namun kedengaran industri yang membelanjakan sehingga puluhan ribu ringgit. Ini adalah disebabkan sikap pengusaha atau pemohon yang menggunakan khidmat orang tengah yang mengenakan caj yang agak tinggi.
"Susah: Ia kembali kepada sikap pengusaha yang ingin mengambil jalan mudah tanpa mahu membuat penambahbaikan di dalam proses pengeluaran produk agar ia menepati konsep halalan toyyiban,” katanya.
Tambahnya, Halal Malaysia yang diterajui oleh Jakim bersama Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri telah melalui pengalaman yang agak panjang sejak 45 tahun yang lalu.
"Kini SPHM dilaksanakan berdasarkan standard yang dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia berlandaskan Akta Standard Malaysia (Akta 549) 1996 dan menepati piawaian International Organization for Standardization (ISO).
"Disamping itu, SPHM ini juga dilaksanakan berdasarkan skim pensijilan serta Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa,” katanya.