MUAR- Mahkamah Tinggi Muar di sini, hari ini memutuskan untuk melepas dan membebaskan tiga sahabat daripada pertuduhan menculik seorang doktor perubatan empat tahun lalu.
Hakim, Datuk Halijah Abbas membuat keputusan itu terhadap tertuduh, M Prem Segar, 37; P Reymon Raja, 25 dan T Sanjiv Kumar, 24 pada akhir kes pendakwaan.
Halijah dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.
"Setelah saya mendengar dan meneliti semua keterangan saksi dan meneliti kesemua exhibit yang dikemukakan. Juga meneliti dan mendengar hujahan bertulis serta hujahan lisan dari semua pada tahap penilaian yang maksimum, saya akui pihak pendakwaan telah tidak dapat membuktikan satu kes prima facie bagi pertuduhan terhadap semua tertuduh.
"Dengan itu saya lepas dan bebaskan semua tertuduh daripada pertuduhan. Semua exhibit yang ada pihak pendakwaan perlu dilupuskan,” katanya.
Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh pertama Prem Seegar diwakili peguam bela, G Subramaniam Nair.
Tertuduh kedua, Reymon Raj pula diwakili Haresh Mahadevan dan tertuduh ketiga, Sanjiv Kumar diwakili Hishamudin A Aziz.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan jenayah itu pada 6 Mei 2015 jam 10 malam bertempat di tempat letak kereta Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
Ia bagi meneruskan niat bersama untuk mendapatkan wang tebusan, menahan dengan cara melarikan secara salah M Anita, 29.
Oleh yang demikian, kesemua tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.