KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan siasatan pihaknya terhadap kes video seks yang dikaitkan dengan seorang lelaki mirip menteri Kabinet adalah telus.
Beliau menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya polis sedang berusaha menutup kes berkenaan.
"Proses siasatan ini sedang berjalan, tidak sebagaimana gambaran kononnya ada unsur hendak tutup itu dan ini," katanya pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Bukit Aman, Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Abdul Hamid berkata, siasatan video berkenaan masih berjalan dan memandangkan kes tersebut agak rumit, beliau tidak tidak memberi apa-apa tekanan kepada pasukan penyiasat.
"Saya juga tidak mendapat apa-apa tekanan pun daripada sesiapa termasuk dari Putrajaya.
"Kita berinteraksi dengan Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat dan panduan-panduan yang diberikan kepada kami untuk tindakan yang perlu mereka ambil," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis dilarang ke pusat hiburan: Abdul Hamid
Abdul Hamid menegaskan kes tersebut perlu disiasat secara menyeluruh kerana jika tidak ia boleh merosakkan masa depan orang lain.
"Mungkin ada orang ambil tindakan konspirasi jahat untuk aibkan seseorang. Itu adalah satu kesalahan dan kita siasat hal itu," katanya.
Abdul Hamid memberitahu, dalam apa juga kes yang menarik perhatian masyarakat memang menjadi hasrat polis untuk selesaikan seberapa segera.
"Jadi, biar siasatan dijalankan dengan adil. Saya tak mahu ambil tindakan sewenang-wenangnya, sesuka hati atau secara semberono dengan menangkap orang sesuka hati," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya mahu PDRM dihormati bukan ditakuti'