Saifuddin persoal Tuan Ibrahim tolak usul isytihar harta

Iklan
Saifuddin ketika bercakap pada sidang media di sini hari ini.

PUTRAJAYA - Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang menggunakan hadis untuk menolak usul pengisytiharan harta yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan itu berkata, sebelum ini Tuan Ibrahim sendiri pernah mencabar pemimpin kerajaan untuk mengisytiharkan harta.

Iklan
Iklan

"Tuan Ibrahim sendiri pernah mencabar kerajaan terdahulu untuk mengisytiharkan harta mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat lulus usul isytihar harta

Iklan

"Saya ada khilaf sedikit tentang pendapat itu... Adakah benar begitu? Bagi saya pelaksanaan isytihar harta ini supaya rakyat boleh tahu dalam kalangan pemimpin yang mereka pilih dan undi ini, adakah mereka bersungguh untuk lawan rasuah," katanya pada Sidang Media Setahun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Saifuddin berkata, pada tahun 2015, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu pernah mencabar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berbuat demikian.

Iklan

"Kalau sekarang kamu kata Tuhan tak suruh, kenapa dulu kamu suruh. Sebenarnya, kerajaan baharu komited hendak menjadikan kerajaan yang lebih integriti dan berusaha hapuskan amalan rasuah di semua peringkat," jelas Saifuddin lagi.

Mengulas lanjut, Saifuddin meminta rakyat untuk menilai tindakan pembangkang menolak usul supaya semua Ahli Parlimen dan keluarga mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya minta rakyat menilai keadaan ini siapa yang bersungguh untuk tunjukkan kepada rakyat dan siapa pula yang berhelah," katanya.

Semalam Tuan Ibrahim menyatakan Pas tidak menyokong usul isytihar harta di Parlimen melainkan ia dipinda merujuk kepada undang-undang.

Dewan Rakyat semalam sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.