KOTA BHARU - Arahan zon merah di kawasan perkampungan orang asli kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang akan ditarik balik minggu hadapan jika keadaan kesihatan dan persekitaran menunjukkan trend semakin baik.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, perkara tersebut akan diputuskan berdasarkan sejauh mana perkembangan semasa kesihatan masyarakat tersebut setiap hari.
"Kita sentiasa memantau dari semasa ke semasa keadaan di sana dan apa yang dapat dilihat dua minggu ini ia menunjukkan trend semakin baik walaupun ada beberapa kes yang dimasukkan ke hospital dan masih belum disahkan sama ada ianya demam campak atau tidak.
"Jika keadaan ini berterusan, Insya-ALLAH kita akan menasihatkan pihak berkuasa untuk menarik balik larangan zon merah di kawasan tersebut berdasarkan keadaan semasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan Konvensyen Farmaseutical Kebangsaan 2019 bermula 2 hingga 4 Julai di Hotel Perdana, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kuala Koh diisytihar sebagai zon merah
Pada 12 Jun lalu, kawasan kediaman masyarakat orang asli itu diisytiharkan zon merah berdasarkan keputusan dibuat melalui perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Mengulas lanjut, Zaini berkata, pihaknya juga telah memulakan vaksinasi kepada masyarakat orang asli tersebut dan turut mendapat kerjasama yang baik daripada agensi lain terutamanya pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Malah beliau memberitahu, bukan hanya Kelantan, tetapi Terengganu dan Pahang juga antara negeri yang mengambil langkah yang sama untuk melakukan vaksinasi tersebut.
"Kita juga sentiasa membuat penilaian setiap masa dan keadaan juga sentiasa berubah-ubah. Bagaimanapun kita sentiasa berhubung rapat dengan agensi yang berkaitan bagi memastikan kita dapat melaksanakan tanggungjawab dan tugas sebaik mungkin," katanya.
Ketika ditanya mengenai punca penyakit berkenaan, beliau berkata perkara tersebut tidak boleh dibuat andaian dan apa yang penting, pihaknya dapat melalukan tindakan untuk mengawal daripada terus merebak.
Sementara itu, mengulas mengenai salah seorang anggota polis yang mengalami masalah kesihatan selepas bertugas di Kuala Koh baru-baru ini, Zaini berkata, sehingga kini tiada laporan mengatakan masalah kesihatan tersebut ada kaitan dengan demam campak.
"Kita ucapkan terima kasih kepada anggota Polis sebab banyak membantu dan sangat komited menjalankan tugas di Kuala Koh dan dalam keadaan cuaca yang panas, mungkin ia memberi kesan kepada kesihatan mereka. Buat masa ini kita belum boleh pastikan sama ada ia demam campak atau sebagainya," katanya.