Jabatan Kesihatan Kelantan pantau ubat, kosmetik larangan

Iklan
Dr Zaini Hussin

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Kelantan sentiasa membuat pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan penjualan ubat-ubatan dan barangan kosmetik terlarang di negeri ini.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya mengambil serius perkara tersebut kerana ubat atau kosmetik yang tidak diiktiraf itu kebanyakannya menggunakan kandungan yang tidak dibenarkan.

Iklan
Iklan

"Kita telah membuat beberapa pendekatan. Kita mahu masyarakat tahu walaupun harganya murah, namun ia boleh membahayakan sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek.

"Jadi kita tidak boleh melihat daripada sudut harga tapi perlu lihat keselamatan. Sebab itulah kita dari semasa ke semasa sentiasa memberi penerangan kepada masyarakat mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita di sini.

Iklan

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Konvensyen Farmaseutical Kebangsaan 2019 bermula 2 hingga 4 Julai di Hotel Perdana, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan turut merancakkan penguatkuasaan bagi memastikan produk-produk yang tidak mendapat kelulusan ini tidak berada di pasaran.

Iklan

Tambahnya, apa yang penting, semua pihak harus memainkan peranan bagi memastikan produk tersebut tidak mendapat permintaan dan sekaligus boleh menghentikan penjualannya.

"Kita di pihak Kementerian Kesihatan juga sentiasa menyebar luas maklumat dan berharap peniaga jangan hanya melihat pada aspek keuntungan tapi keselamatan pengguna juga perlu diberikan perhatian.

"Ini tanggungjawab kita semua dan sekiranya dibebankan pada anggota kesihatan sahaja, ia tidak mencapai objektif bersama untuk memastikan masyarakat dapat ubat yang berkualiti dan selamat.

"Selain itu, kita juga berharap masyarakat turut prihatin dan menyalurkan maklumat kepada pihak kami dari semasa ke semasa untuk bersama-sama membanteras perkara ini," katanya.