PUCHONG - Kegiatan persundalan yang disyaki ditawarkan wanita warga asing dengan bayaran harga RM220 bagi sekali langganan di empat premis sekitar daerah ini dibongkar.
Kegiatan haram itu dibongkar sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman yang menyaksikan serbuan premis di Jalan Puteri 1/4, Jalan Puteri 1/8, Jalan Puteri 5/2, Bandar Puteri dan One Puchong Business Park di sini malam tadi.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kesemua wanita yang ditahan itu berumur lingkungan 19 dan 43 tahun.
Katanya, mereka yang ditahan itu terdiri daripada 11 rakyat Vietnam, lima China, empat Indonesia dan dua Thailand.
"Premis juga dikesan beroperasi di kawasan deretan kedai selain menggunakan pintu magnet yang hanya boleh dibuka dari dalam.
"Siasatan awal mendapati, penjaga premis ini mempergunakan gadis warga asing dengan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan bayaran RM160 sehingga RM220," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, ada antara premis ini beroperasi di sebalik spa, pusat kesihatan dan pusat refleksologi bagi mengaburkan kegiatan mereka.
Katanya, susulan itu, polis turut menahan lima lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis berumur 26 hingga 41 tahun.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan kerana terlibat kegiatan persundalan selain Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (EHDTTH), Peraturan 39b Peraturan Imigresen, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.