KUALA LUMPUR - Beberapa individu yang membeli tanah rizab Melayu di beberapa lokasi di ibu negara akan memfailkan tuntutan di mahkamah terhadap sebuah firma guaman hartanah atas dakwaan menipu wang mereka.
Peguam yang mewakili mangsa terbabit, Bhavanash Sharma berkata mangsa dipercayai membeli tanah rizab tersebut pada harga tawaran serendah RM60,000 daripada sebuah syarikat perniagaan hartanah.
Peguam itu berkata seorang daripada mangsa datang kepadanya memberitahu telah membeli tanah rizab tersebut pada 2013.
"Namun mangsa yang merupakan seorang guru merasa tertipu kerana setelah dua tahun, tidak ada sebarang maklumat tentang perkembangan mengenai pembelian itu." katanya dalam sidang media hari ini.
Katanya guru tersebut telah membayar RM66,000 untuk membeli 'lot tanah' tersebut yang kononnya terletak di mukim Dengkil, Sepang.
"Selepas tidak mendapat sebarang perkembangan selain pelbagai alasan yang diberi apabila ingin mendapatkan status pembelian tanah itu, mangsa telah memohon untuk untuk membatalkan pembelian tersebut. Dua laporan polis juga telah dibuat berhubung kes penipuan itu,” katanya.
Beliau juga berkata lebih 100 pembeli telah tertipu dengan syarikat guaman hartanah itu dengan lebih 10 mangsa atau pembeli kini sedang mendapatkan khidmatnya untuk membawa kes tersebut ke mahkamah bagi menuntut kembali wang mereka.
Katanya satu tuntutan saman telah difailkan oleh seorang peniaga terhadap syarikat hartanah itu dan beberapa peguam dari sebuah firma guaman hartanah untuk mendapatkan semula pembayaran berjumlah RM66,000 berserta kerugian berhubung pembelian tanah itu
"Pada Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan saman dan tuntutan plaintif selepas membuat keputusan pihak peguamnya berjaya membuktikan wujudnya penipuan dan kecuaian profesion dalam kes ini,” katanya.
Peguam itu berkata defendan diarah untuk membayar RM66,000 kepada plaintif, kerosakan umum RM26,400, kerosakan teruk RM50,000, kerosakan teladan RM100,000 dan kos RM40,000.- Bernama