GEORGETOWN - Tindakan mengisytihar harta pemimpin sesuai dengan ajaran Islam kerana ia mendukung nilai-nilai keadilan yang menggalakkan pemerintah dan pemimpin bersikap telus dan amanah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam turut mendukung nilai integriti yang menggalakkan pemimpin lebih bertanggungjawab terutamanya yang berkait rapat dengan harta-benda awam.
Menurutnya, sekiranya pemimpin ingin menjadi contoh kepada rakyat, maka mereka perlu berani mengisytihar harta yang mereka miliki.
"Jika benar kita ingin melihat segala ajaran Islam terlaksana dalam kehidupan rakyat di negara ini, maka pemimpin mesti sanggup dan berani mengisytiharkan harta yang dimiliki. Ia agar menjadi contoh kepada rakyat tentang ketelusan dan kejujuran masing-masing.
"Dengan tindakan itu, ia akan menjadikan suasana negara ini bertambah baik dan dapat mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat kerana wujud sikap saling percaya-mempercayai antara satu sama lain. Contohilah Khalifah Umar Ibnu Al-Khattab kerana beliau adalah seorang pemimpin Islam yang unggul dan ulung," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, sikap Khalifah Umar jarang ditemui dalam kalangan pemimpin Muslim pada ketika ini sebaliknya sering diguna pakai oleh pemimpin Barat.
"Kita sering mendengar ada pemimpin atau menteri Barat mendedahkan pendapatan, mempamerkan akaun bank dan mengisytiharkan harga seperti rumah. Dengan itu, rakyat percaya dengan pemimpin mereka dan dapat melihat keikhlasan dalam berkhidmat untuk rakyat.
"Bukannya menyalahgunakan jawatan bagi mengaut kekayaan untuk diri sendiri dan keluarga. Sepatutnya pemimpin Islam sama ada yang memerintah atau yang membangkang mampu menghayati ajaran Islam dalam aspek ini supaya menjadi teladan kepada rakyat dari sudut ketelusan dan integriti diri. Sesungguhnya Islam itu bukanlah sekadar slogan dan laungan kosong, tetapi pada penghayatan dan amalannya," katanya.
Semalam, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang, mengisytiharkan harta masing-masing.
Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.
Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada Ahli Parlimen pembangkang.