NILAI - Isu berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, sebarang perkembangan siasatan hanya akan dijawab Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
"Isu ini masih dalam siasatan SPRM, tetapi saya rasa isu ini akan dijawab oleh Menteri Pertahanan,” katanya ketika ditemui pada persidangan ‘Federalisme di Malaysia: Mentakrif Semula Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia’ di sini hari ini.
Pada 13 Jun lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut sumber Kementerian Pertahanan, laporan itu membabitkan pembelian enam helikopter tempur ringan MD530G keluaran syarikat gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat (AS), McDonnel Douglas yang kontraknya diluluskan pada November 2015.
Pada 21 Jun lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan menahan dua individu yang dikaitkan dengan pembelian enam helikopter terbabit.
Dua individu itu dikenal pasti sebagai orang yang mendapatkan projek berkenaan. - Bernama