BAITULMAQDIS - Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) memberi amaran situasi di Semenanjung Gaza semakin meruncing.
"Situasi sosial dan ekonomi di Gaza yang sekian lama berdepan keadaan buruk kini bertambak teruk," kata Pengarah UNRWA di Gaza, Matthias Schmale.
Schmale menyalahkan kepungan 12 tahun rejim Zionis sebagai penyumbang utama kepada ketidaktentuan di wilayah itu.
Gaza ketika ini menampung hampir dua juta penduduk Palestin.
"Kepungan Israel telah menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi, keruntuhan ekonomi dan sekatan perdagangan bebas," katanya.
Menurut Pusat Biro Perangkaan Palestin, pengangguran di Gaza terus meningkat sehingga mencapai 52 peratus tahun lalu, meningkat lapan peratus sejak 2017.
Program Makanan Sedunia (WFP) dalam laporan terbaharunya pula mendedahkan, 70 peratus penduduk Gaza berdepan krisis kekurangan makanan.
Israel melaksanakan sekatan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza sejak 2007, selepas Hamas menguasai wilayah itu daripada Fatah.
Sekatan yang dihujani kritikan masyarakat dunia itu turut mengundang pelbagai kes kemurungan dan kesihatan, sekali gus meletakkan rakyat Palestin dalam keadaan terdesak untuk mendapat perkhidmatan perubatan sewajarnya. - Agensi