BIARPUN kini jarang muncul di kaca TV, pelakon Kilafairy mengakui sibuk dengan pelbagai aktiviti yang mengisi jadual jadual sehariannya.
Bukan hanya dalam bidang seni tetapi juga dalam bidang perniagaan yang kini menjadi sebahagian daripada rutinnya kini.
Menurut pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan, 27, disebabkan jadual kerjanya yang padat, dia terpaksa memperlahankan aktiviti lakonan dan hanya memilih tawaran yang berbaloi sahaja.
Apatah lagi pada tahun ini dia juga bakal muncul dengan single terbaharu yang telah siap dirakam dan menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.
"Saya tidak nafikan orang lebih mengenali nama saya dalam bidang lakonan berbanding nyanyian. Disebabkan itu saya mahu lakukan sesuatu untuk terus aktif dalam nyanyian agar orang juga tahu saya adalah seorang penyanyi.
"Bukan kerana tawaran lakonan kurang tetapi muzik adalah cinta pertama saya dan ia harus dipertahankan meski saya turut aktif dalam bidang lain,” katanya yang mempunyai misi tersendiri dalam bidang nyanyian.
Berkongsi lanjut tentang single terbaharunya itu, kata Kila, lagu berentak rancak ciptaan Brian B itu sudah siap dirakamkan dan menunggu masa untuk dilancarkan.
"Alhamdulillah proses rakaman sudah selesai semuanya dan insya-ALLAH, single berbahasa Melayu ini akan dilancarkan pada tahun ini juga serentak dengan muzik videonya sekali.
"Saya masih memilih lagu berentak rancak kerana ia sesuai dengan minat dan personaliti saya sendiri yang ke arah itu.,” ujar Kila yang sebelum ini pernah tampil dengan single berbahasa Inggeris, Put The word In.
Produk kurus, KilaFit
Dalam perkembangan lain, Kila meluahkan rasa teruja apabila kini tampil dengan produk kurus keluarannya sendiri Kilafit by Kilafairy yang mengutamakan kandungan semula jadi untuk pengguna.
Kila yang ditemui pada majlis pelancaran produk tersebut di Forest Valley Hall, Cheras baru-baru ini menyifatkan ia sebagai satu kejayaan awal buat dirinya yang sentiasa ingin berkongsi sesuatu yang bermanfaat buat orang ramai.
"Penghasilan produk ini bermula daripada masalah berat badan yang dialami oleh saya sendiri sebelum ini di mana pernah satu ketika saya malu nak keluar rumah dan memuat naik gambar di media sosial kerana masalah itu.
"KilaFit akhirnya menjadi penyelesaian dan ia sangat berkesan kerana produk ini mengutamakan kandungan semula jadi dan tidak memberikan kesan sampingan kepada pengguna.
"Alhamdulillah sejak diperkenalkan lebih enam bulan lalu, KilaFit mendapat sambutan dan maklum balas yang cukup positif daripada orang ramai,” luahnya teruja.
Dalam pada itu, Kila yang juga anak kepada penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil menafikan dirinya ditaja individu apabila dikatakan dilihat menjalani gaya hidup mewah dan sering menghadiri acara luar negara.
Kata Kila, dia tidak kisah dengan apa yang diperkatakan netizen kerana sudah terbiasa dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.
"Kita tak boleh nak tutup mulut orang kerana mereka akan terus bercakap apa sahaja yang mereka mahu cakap.
"Apa yang boleh saya katakan, semua acara atau majlis yang saya hadiri itu adalah bagi mewakili Malaysia.
"Segala keperluan untuk ke majlis tersebut adalah disediakan sepenuhnya oleh syarikat yang menjemput dan kalau ada orang lain yang menyelit untuk taja pun tak ada tempat dah.
"Bila dengar macam-macam cerita tak betul yang orang buat, saya hanya mampu gelak. Namun dalam masa yang sama, buktikan pada mereka yang saya ni lebih bagus daripada apa yang mereka fikirkan,” katanya.