Kementerian bakal perkenal skim mikro kredit

Iklan
Shahruddin (baris dua, empat, kanan) dan Nadzim (belakang, dua, kanan) beramah mesra dengan tetamu yang hadir sempena Majlis Jamuan Mesra Raya Meraikan Warga Istimewa dan Rakan Media PPIM di Ali Grand Hall Wangsa Maju, di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan kini dalam proses perbincangan untuk memperkenalkan satu skim mikro kredit bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dalam bidang perniagaan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, skim berkenaan bukan saja terhad bagi individu yang sudah pun berkecimpung dalam bidang keusahawanan malah untuk individu yang mahu memulakan perniagaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, jumlah pinjaman serta bilangan usahawan B40 yang bakal dibantu masih lagi dalam peringkat perbincangan.

"Kita sekarang sedang berbincang dan mengadakan cadangan supaya Yayasan Wilayah dapat mengadakan skim mikro kredit untuk membantu usahawan-usahawan memulakan perniagaan ataupun yang sudah memulakan perniagaan. Mereka yang dah melakukan perniagaan kita akan tambah lagi modal.

Iklan

"Insya-ALLAH tahun ini akan kita lancarkan (skim mikro kredit). Berapa jumlah pinjaman tak bincang lagi tapi mungkin minima RM2,000 hingga RM10,000," katanya ketika ditemui sempena Majlis Jamuan Mesra Raya Meraikan Warga Istimewa dan Rakan Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Ali Grand Hall Wangsa Maju, di sini hari ini.

Shahruddin berkata, warga Kuala Lumpur yang tergolong dalam B40 boleh membuat permohonan.

Iklan

Turut hadir, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Presiden Usahawan Wanita dan Kemanusiaan (WeHuman), Irene Catalina.

Sementara itu, Shahruddin turut memujui WeHuman kerana telah membantu wanita golongan asnaf wanita melalui aktiviti keusahawanan untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan tidak lagi menjadi penerima zakat.