RUU Cap Dagangan 2019 dilulus di Dewan Rakyat

Iklan
Chong Chieng Jen

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Cap Dagangan 2019 yang membolehkan individu atau syarikat perniagaan mendaftarkan cap dagangan seperti bau, bunyi, bentuk dan warna, diluluskan dengan pindaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua berkata, perluasan skop perlindungan cap dagangan kepada tanda nama bukan tradisional merupakan satu keperluan bagi sektor perdagangan domestik dan luar negara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebelum ini di bawah Akta Cap Dagangan 1976 (Akta 175) hanya tanda nama tradisional boleh didaftarkan seperti nama, label, tandatangan, perkataan, huruf, angka atau apa-apa gabungannya.

"Akta 175 telah digubal berdasarkan United Kingdom Trademark Act 1938 tetapi negara itu sudah memansuhkannya, dan hasil kajian, kementerian mendapati Akta 175 memerlukan pindaan secara menyeluruh terhadap peruntukan yang sedia ada.

Iklan

"Landskap perlindungan cap perdagangan di peringkat global yang sedang pesat berubah ini memerlukan Akta 175 dikaji semula selaras dengan keperluan semasa dan memenuhi kehendak komuniti peniaga, perniagaan dan pihak berkepentingan dengan menambah jenis-jenis cap dagangan bukan tradisional," katanya. Beliau berkata, RUU itu juga membolehkan harta intelek digunakan sebagai instrumen kewangan, selain menambah baik prosiding tindakan sivil dan jenayah serta penguatkuasaan yang lebih efektif dengan mewujudkan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.

Selain itu, RUU itu juga membolehkan Malaysia memenuhi kewajipannya di bawah Protokol Madrid berkenaan dengan Pendaftaran Antarabangsa bagi Cap, serta mendapatkan semua kelebihan dan faedah yang diberikan oleh Protokol Madrid.

Iklan

Sementara itu, Dewan Rakyat sebulat suara turut meluluskan RUU Perihal Dagangan (Pindaan) 2019.

Sidang dewan disambung esok. - Bernama