PUTRAJAYA - Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya.
Jelas beliau, tindakan pihak tertentu mempolitikkan insiden pencemaran di Pasir Gudang, Johor adalah jijik dan keji tanpa mengambil kira perasaan serta trauma mereka yang terlibat.
"Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua yang menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan kebebasan bersuara," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas fitnah yang disebarkan di media sosial yang mendakwa kilang kimia di kawasan tersebut dimiliki oleh anak syarikat IOI Corp Berhad.
Pihak terbabit telah mengaitkan suami Bee Yin adalah Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat tersebut.
Sehubungan itu, Bee Yin berkata, kenyataan itu disifatkan sebagai tidak bermaruah dan penghinaan kepada beratus-ratus pegawai kerajaan daripada semua agensi yang terlibat dalam menangani masalah di Pasir Gudang.
"Mereka bertungkus lumus bekerja siang dan malam tanpa mengenal penat lelah untuk memberikan bantuan kesihatan, mengambil bacaan parameter, menganalisis data demi kesejahteraan penduduk Pasir Gudang," katanya.