Rumah jadi stor rokok seludup

Iklan
Rokok putih dan kretek yang dirampas PPM dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bayu Perdana.
KLANG - Sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok bergerak licik dengan menjadikan sebuah rumah sebagai stor simpanan sebelum diedar.

Namun, modus operandi itu berjaya dibongkar Unit Risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pelabuhan Klang dalam serbuan di Taman Bayu Perdana, di sini, kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 6.30 petang mendapati rumah tersebut dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup pelbagai jenis yang dibawa masuk dari negara jiran.

Menurutnya, kesemua rokok tersebut disyaki dibawa masuk secara haram dan tidak dibayar cukai.

"Pelbagai jenis rokok putih dan rokok kretek dianggarkan bernilai RM156,464 telah dirampas.

"Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas tentang kegiatan penyeludupan tersebut, Rosman berkata, rumah itu dipercayai telah dijadikan tempat simpanan rokok sejak dua tahun lalu.

Katanya, pihaknya percaya suspek memperolehi bekalan daripada seorang individu yang membuat penghantaran dalam tempoh dua hingga tiga kali sebulan bergantung kepada permintaan suspek.

"Siasatan mendapati rokok yang dibawa masuk dari negara jiran ini adalah untuk pasaran sekitar Klang," katanya.

Tambahnya, orang ramai digesa untuk menyalur maklumat berhubung kegiatan seperti ini dalam usaha membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti sedemikian.