JUARA Liga Super 2019 sudah menjadi milik JDT namun kedudukan naib juaranya masih lagi terbuka dan menjadi perebutan kepada beberapa pasukan.
Bekas penyerang kebangsaan yang juga pengulas sukan, Ahmad Rizal Ahmad Rakhli berkata, Finalis Piala FA 2019, Kedah antara pasukan yang berpeluang untuk merebut kedudukan berkenaan walaupun masih gagal berada pada tahap sebenar.
Menurutnya, pengalaman yang dimiliki beberapa pemain utama Lang Merah telah membantu pasukan tersebut berada di kedudukan ketiga Liga Super 2019 selepas 18 perlawanan.
"Bagi perebutan tempat kedua Liga Super, peluang masih terbuka kepada beberapa pasukan seperti Kedah, Pahang dan Selangor.
"Kita sendiri melihat seperti Pahang dan Selangor juga tidak konsisten. Kedah berpeluang untuk merebut takhta dua pasukan terbaik musim ini tetapi dengan syarat tidak boleh keciciran mata pada baki empat perlawanan ini," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kehadiran penyokong semakin menurun di Stadium Darul Aman, Akmal Rizal berkata, penyokong pada hari ini bijak kerana bukan sahaja mahu melihat kepada kemenangan semata-mata tetapi juga corak permainan menarik seperti yang pernah ditonjolkan skuad itu di bawah bekas pengendali Lang Merah, Tan Cheng Hoe beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pasukan pada musim ini perlu kembali menunjukkan corak permainan yang meyakinkan dan menghiburkan agar dapat menarik kembali penyokong bagi memenuhi stadium keramat tersebut.
"Apabila melihat kepada corak permainan sekarang, mungkin ada segelintir penyokong yang tidak puas hati. Namun Aidil Sharin Sahak (ketua jurulatih Kedah) masih lagi baru bersama pasukan ini (kira-kira lebih enam bulan).
"Saya pasti dengan kemasukan pemain baru lama-kelamaan persefahaman dan corak persembahan dan kualiti permainan pasukan itu akan bertambah baik (pada masa hadapan)," katanya.