KUALA SELANGOR - Ibu kepada pelajar cemerlang yang dilaporkan hilang pagi tadi mendedahkan terdapat kemungkinan anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama di daerah ini.
Bagaimanapun, Ahmad Fitri Mohammad Shaffie, 15, ditemui di sebuah pasar raya di USJ, Subang Jaya kira-kira jam 3.30 petang hari sama selepas menghubungi ibunya, Mardiana Ismail, 58.
Mardiana Ismail, 58, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu sebelum ini mengadu tidak tahan dibuli rakannya dan enggan pulang ke asrama, Ahad lalu.
"Saya tidak menolak kemungkinan perbuatan buli di sekolah menjadi punca Ahmad Fitri bertindak melarikan diri dari rumah," katanya.
Menurut Mardiana, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan sekolah untuk tindakan lanjut.
"Pihak sekolah berjanji akan menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku kes buli berkenaan," katanya.
Mardiana yang juga pesara guru sebuah sekolah menengah berkata, anaknya itu terpaksa 'dicutikan' sementara di sekolah itu sehingga emosi Ahmad Fitri kembali stabil.
"Kita berharap kes ini dapat diselesaikan dan dia dapat kembali ke sekolah," katanya.
Katanya, dia bersyukur kerana Ahmad Fitri selamat ditemui dan kembali ke pangkuan keluarga.
"Ahmad Fitri menghubungi saya semasa berada di sebuah pasar raya di USJ dan ketika itu saya meminta kakak dan abang kepada Ahmad Fitri mengambilnya di sana.
"Ketika ini (jam 7.40 petang) saya dalam perjalanan membawanya pulang ke rumah kami di Kuala Selangor," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar cemerlang lari dari rumah
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang pelajar cemerlang sebuah sekolah berasrama di Kuala Selangor menghilangkan diri di rumah keluarganya di Pekan Kuala Selangor di sini pagi tadi.
Kehilangan Ahmad Fitri disedari Mardiana ketika ingin menunaikan solat Subuh kira-kira jam 6.30 pagi.