SHAH ALAM - Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Nabi Muhammad SAW tidak membenarkan pemimpin terutama ahli politik mengisytiharkan harta bercanggah dengan pendirian sebelum ini yang mendesak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukannya.
Exco Armada Nasional, Muzammil Ismail berkata, pendirian tersebut menunjukkan Pas tidak konsisten dan hilang kewibawan kerana UMNO yang berdepan dengan dakwaan pengubahan wang haram masih bersetuju dengan usul tersebut.
"Biasanya yang risau untuk mengisytiharkan harta adalah mereka daripada blok kerajaan. Isytihar harta bukan untuk rakyat tahu siapa kaya atau miskin dan menjadi kaya itu adalah hak masing-masing. Tetapi punca perolehan itu mestilah sah dan halal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Tuan Ibrahim tidak menyokong usul isytihar harta terutamanya melibatkan Ahli Parlimen memandangkan mereka tiada akses kepada projek-projek kerajaan.
Sebaliknya beliau berkata, pemimpin kerajaan harus mengisytiharkan harta kerana memiliki akses untuk mendapatkan projek.
Mengulas lanjut, Muzzammil berkata, kenyataan tersebut mendapat respons daripada anak muda yang melahirkan kekecewaan mereka di media sosial.
"Ini sekali gus menghakis kepercayaan masyarakat awam terhadap prinsip ketelusan Pas.
"Diharapkan pihak-pihak yang berlatar belakang agama terutama ahli politik tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama ALLAH, mahupun Nabi Muhammad hanya kerana menghalalkan matlamat peribadi. Apatah lagi tafsiran dan sumber rujukan itu palsu," katanya.