PENGKALAN CHEPA - Pemimpin dan semua ahli Bersatu diharap dapat mengambil manfaat dan memastikan proses pemilihan parti yang dijangka berlangsung pada bulan depan sebagai medan penting bagi mengukuhkan perpaduan di antara satu sama lain.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, tidak ada sebab jika mana-mana pihak cuba mengambil sikap keterlaluan dengan menjadikan persaingan pemilihan dalaman parti sebagai punca perpecahan sesama sendiri.
"Bersatu walaupun merupakan parti baru, namun penubuhannya adalah berasaskan kepada semangat perjuangan lama nenek-moyang atas nama perpaduan serta membela kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.
"Maka, penting bagi kita (pemimpin dan ahli) parti berusaha menjadikan pemilihan akan datang ini sebagai proses untuk memperkuatkan, memantapkan saf kepimpinan, struktur serta keahlian parti," katanya, disini hari ini.
Abu Bakar berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu pada 27 Jun lalu yang mahukan pemilihan parti itu diadakan lebih awal memandangkan kepemimpinan yang ada kini adalah dilantik.
Menurut Perdana Menteri, langkah sedemikian perlu kerana pemimpin yang dipilih secara lantikan sukar untuk mengembangkan parti berkenaan.
Terdahulu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri hari ini menziarahi ahli keluarga Ketua Penerangan Bersatu Cawangan Kemumin, Mohd. Safian Abd. Manaf, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung semalam.
Pada masa sama, beliau turut menziarahi kediaman seorang ali Bersatu, Alwi Ab. Rahman, 50, yang lumpuh sebelah kiri akibat serangan angin ahmar.