Isu parkir moden di Kota Bharu, apa lagi tak kena!

Iklan
Gambar kecil: Rosmiza Kasim

APABILA tiba musim cuti sekolah, ramai mahu ke Kelantan, negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga terutamanya di bandar Kota Bharu.

Apa yang menariknya di Kelantan? Sehinggakan Pasar Siti Khadijah boleh sesak luar biasa pada musim-musim sebegitu.

Iklan
Iklan

Bagi yang sudah datang ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini, boleh dikatakan mereka akan datang sekali lagi di sini terutamanya di Pasar Siti Khadijah. Bukan apa, ini disebabkan segala macam benda ada di pasar itu.

Bukan sahaja makanan, sayur-sayuran segar dari kampung tetapi pakaian dan barang kemas pun ada dijual di situ. Pendek kata syurga beli-belah untuk wanitalah. Kalau singgah di situ si suami mesti pastikan poket mereka tebal tau.

Iklan

Itu cerita lama, mungkin ketagihan keseronokan ke situ pada tiga atau dua tahun lalu. Tapi sekarang sudah lain.

Tanpa tunai

Saya tidak mahu menyentuh mengenai Pasar Siti Khadijah, bersih, cantik atau tidak semua orang sudah tahu tetapi apa yang ingin dikatakan adalah mengenai sistem parkir canggih baharu yang digunakan di situ.

Iklan

Sistem letak kereta elektronik web secara rasmi dikuatkuasakan bermula 15 Oktober 2018. Boleh bayar menggunakan syiling, Touch N Go dan juga aplikasi (Boost, JomParking, Mcash) menerusi telefon pintar.

Ini satu pembaharuan yang berlaku di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan perlu dihormati pada zaman segala benda sudah canggih sekarang ini. MPKB-BRI tidak terkebelakang. Sebuah syarikat dilantik secara kontrak untuk uruskannya dan menjimatkan kos membaiki mesin parkir sedia ada yang sering dirosakkan pengguna.

Namun begitu, apa yang ‘panas’nya, sebagaimana tersebar di media sosial, betapa kutukan dihalakan terhadap kerajaan Kelantan. Mungkin ada sedikit kekesalan pelaksanaan dengan penggunaan sistem baharu itu.

Tersebar di media sosial cacian netizen apabila ada yang berkongsi gambar seorang lelaki warga emas termenung di tepi kereta dengan tayarnya dikunci. Mungkin dia tidak pandai ataupun tak tahu sistem itu.

Mungkinlah juga disebabkan meter-meter lama sudah dicabut. Almaklumlah orang tua tetapi salah tetap salah.

Namun, kecepatan dan betapa efisiennya kakitangan syarikat menjalankan tugas juga tidak dapat disangkal. Mereka tidak akan lambat untuk bertindak sekiranya tempoh masa yang dibayar oleh pengguna sudah tamat, notis saman dikeluarkan tanpa budi bicara.

Memang tegas, tidak kiralah siapa pun anda. RM110 wajib dibayar untuk membuka kunci tayar dan sekiranya ada tunggakan saman lama pun perlu dijelaskan sekali. Ini melambangkan kredibiliti syarikat tersebut.

Jangan nak main-main meskipun ada yang menganggap mahu cekik darah rakyat dan ada yang sifatkan sengaja ‘memerangkap’ untuk mencari keuntungan.

Kalau nak dikirakan panas juga telinga penulis apabila ramai yang menghubungi pejabat Sinar Harian mengadu mengenai perkara tersebut.

Kadang-kadang mereka ini bukan marah sangat disebabkan tayar kena kunci tetapi mengenai ‘kerasnya’ bahasa percakapan.

Bukankah kita masih boleh menggunakan keindahan dan kelembutan oghre Kelate, berkecek dengan molek. Nak tak nak mereka kena bayar juga. Takkanlah nak balik berjalan kaki.

Dari sudut kesungguhan melaksanakan sistem terbabit ia boleh dipuji. Memang hebat. Bagi saya alangkah baiknya juga sekiranya komitmen sama diguna pakai kerajaan untuk jaga kebersihan bandar Kota Bharu dan kawasan lain di sekitar Kelantan.

Kita boleh contohi Terengganu yang mengenakan kompaun RM50 terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata tempat sebagai hukuman mendidik.

Ketika ini, RM50 ialah nilai yang dianggap sudah cukup besar. Jadi apa salahnya ada pemerhati diletakkan mahupun menggunakan apa sahaja sistem untuk ‘mengajar’ rakyat di Kelantan menjaga kebersihan.

Sekiranya, sistem letak kereta boleh diswastakan dan rakyat pun sudah takut untuk meletakkan kenderaan mereka di merata-rata tempat. Inikan pula bagi melantik syarikat tertentu, contohnya Alam Flora untuk masuk ke Kelantan. Sekali kena saman perlu keluarkan duit membayarnya ketika mana rakyat sepatutnya sedang berjimat cermat.

Saya rasa mereka akan serik untuk membuang sampah di merata-rata lagi. Lama-kelamaan negeri Kelantan tidak lagi kotor...

Apa-apa pun saya mahu ‘orang luar’ tidak seriklah untuk datang ke Kelantan.

*Rosmiza Kasim ialah Ketua Wartawan Edisi Kelantan