Tiga beradik tinggal dalam rumah usang

Iklan
Sobihah (kiri) Nor Atikah (dua, kiri) menunjukkan keadaan rumah berkenaan.

KUALA KETIL - Tiga beradik yang tinggal di rumah usang di Kampung Tawar di sini berharap ada pihak sudi membantu membaik pulih kediaman mereka.

Kakak sulung, Nor Atikah Ramle, 28, berkata kekangan kewangan menghalangnya untuk memperbaiki rumah peninggalan arwah kedua ibu bapa mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rumah pusaka berkenaan telah berusia lebih 28 tahun dan sejak lima tahun lalu strukturnya semakin reput di makan anai-anai.

"Jika hujan, air akan masuk ke dalam rumah dan kami adik-beradik terpaksa sediakan bekas dan tidur di ruang yang tidak bocor.

Iklan

"Seluruh bahagian rumah semakin uzur dan tidak selamat didiami," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, pendapatannya yang hanya berharap kepada bekerja kantin di sebuah kilang tidak mampu untuk membaik pulih rumah berkenaan.

Iklan

"Adik kedua, Alif Asyraf Ramle berusia 26 tahun bekerja sendiri dan bongsu, Alia Natasha masih bersekolah di tingkatan tiga," katanya.

Nor Atikah menunjukkan keadaan bahagian rumahnya yang kian uzur.

Kata Nor Atikah, rumah mereka sering kali menjadi sasaran penagih dadah yang cuba bertindak memecah masuk.

"Ada penagih masuk waktu kami tiada di rumah. Waktu kami ada dalam rumah pun depa pernah masuk menceroboh.

"Tapi bila sedar ada penghuni, depa cepat-cepat melarikan diri. Anggota polis kadang-kala ada juga buat rondaan di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, ibu saudara, Sobihah Noh,54, berkata, sejak dua minggu lalu dia mengambil Nur Atikah dan adiknya tinggal bersama di pekan Kuala Ketil.

"Pada Ramadan lepas, Atikah pengsan di kilang. Jadi saya pujuk dia untuk tinggal bersama kerana keadaan rumah pun tidak sesuai didiami.

"Saya harap ada lah pihak dapat bantu keluarga ini mendiami rumah yang lebih selamat," katanya.

Dalam pada itu, difahamkan permohonan berkaitan telah diterima Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).