RAWANG - Empat tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) masih tidak cukup untuk mengangkut timbunan baju buruk atas tapak niaga bundle berhampiran simpang tiga Green Valley Park, Bandar Tasik Puteri di sini.
Kesemua pakaian itu dipercayai milik pengusaha bundle yang ditinggalkan di kawasan tersebut lebih setahun sebelum khemah yang menjadi stor simpanannya disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baru-baru ini.
Ahli Majlis MPS Zon 18, Choy Pooi Yee berkata, beliau meminta supaya kawasan itu dibersihkan selepas menerima aduan awam.
"Tidak ada tanda pemiliknya berminat untuk mengambil baju-baju itu kerana kebanyakannya sudah rosak.
"Saya minta bantuan MPS yang mengarahkan KDEB Waste Management untuk membersihkan kawasan itu. Pembersihan telah dilakukan sejak semalam dan dijangka selesai hari ini," katanya.
Katanya, pemiliknya dipercayai orang tempatan yang menjadikan tapak itu sebagai kedai bundle, namum berniaga secara haram.
"Penguat kuasa MPS yang memeriksa lokasi menemui dua khemah ditutup kanvas berkeluasan 400 kaki persegi mengandungi baju bundle yang sudah rosak.
"Pemiliknya orang tempatan. Saya dah minta dia menghubungi saya untuk perbincangan namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas," katanya.