ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB
IMPLAN sudah tamat dan ditinggalkan dalam badan tidak memberi apa-apa kesan.
SOALAN 1
DOKTOR, saya baru sahaja memasang implan. Saya risau mendengar cerita kawan-kawan yang mengatakan perlu berhati-hati apabila alat itu sudah tamat tempoh. Adakah implan itu boleh memudaratkan diri saya jika membiarkan ia terlalu lama berada di dalam tubuh? Implan tersebut dikatakan akan bergerak dalam tubuh dan menyebabkan bahana yang lain pula. Betulkah andaian itu?
- IBU KHUATIR, SALEHA IDRIS, 35, PASIR PUTEH, KELANTAN
JAWAPAN:
PERKARA pertama yang puan perlu ketahui, implan merupakan kaedah perancangan keluarga yang mengandungi hormon progesteron. Tempoh maksimumnya selama tiga tahun.
Implan berupa rod sebesar saiz batang mancis yang 'ditanam' pada bawah kulit manusia dan selalunya pada lengan. Ia akan mengeluarkan hormon secara berdikit-dikit dan automatik serta bertindak menghalang kesuburan dan ovulasi.
Puan tidak perlu risau, implan yang dipasang tidak mungkin berubah lokasi. Namun, terdapat kes kehilangan yang melibatkan beberapa situasi iaitu implan terbenam dalam sedikit daripada paras kulit semasa disuntik masuk.
Selain itu, implan turut boleh berubah lokasi apabila pemakainya naik berat badan dan situasi implan tercabut sejurus selepas pemasangan. Ia juga mungkin berlaku jika luka ketika proses pemasangan belum sembuh sepenuhnya atau semasa plaster luka dicabut.
Jika masalah itu berlaku, implan boleh dikesan melalui pengimejan resonans magnetik atau ultrasound untuk proses pengeluaran dibuat.
Impak
Harus difahami implan yang sudah habis tempoh dan ditinggalkan dalam badan tidak memberi apa-apa kesan pada kesihatan. Ia dianggap sebagai benda asing yang tidak berfungsi dan harus dikeluarkan.
Secara amnya, implan selamat digunakan, begitu juga dengan semua kaedah perancang keluarga yang lain (artificial).
Namun tidak dinafikan alat itu mempunyai kesan sampingan yang tidak menyenangkan. Antara kesan yang dikaitkan dengan alat itu ialah ia dikatakan boleh mengganggu haid, berat badan meningkat dan pengeluaran susu ibu berkurangan.
Pun begitu, kesan sampingan itu bergantung kepada pengguna dan ada yang tidak menghadapi masalah. Bagaimanapun, kaedah berkenaan lebih tinggi keberkesanannya berbanding jika perancangan secara alami.
Justeru, bagi memastikan implan yang dipasang berfungsi sebaiknya, puan harus sentiasa memastikan luka bekas suntikan sembuh. Buat pemeriksaan sendiri dengan merasa lokasi implan sentiasa kekal pada bawah kulit.
Selain itu, pastikan puan tidak melupakan pemeriksaan berkala bersama doktor terutamanya sebelum tamat tempoh atau jika ada gangguan pada aturan haid.
IKAT peranakan tidak mempengaruhi susu ibu.
SOALAN 2:
DOKTOR, disebabkan masalah kesihatan, saya telah membuat keputusan untuk 'ikat' peranakan selepas melahirkan bayi nanti. Namun, saya risau mendengar risiko sampingannya seperti menyebabkan susu ibu menjadi kurang. Ada mencadangkan supaya proses mengikat peranakan itu dilakukan setelah anak berusia dua tahun. Benarkah begitu?
- DALAM DILEMA, RAHIMAH ISHAK, 37, BANDAR SRI SENDAYAN, NEGERI SEMBILAN
JAWAPAN:
IKAT peranakan atau bilateral tubal ligation merupakan kaedah perancangan kekal buat ibu yang merancang keluarga.
Kaedah itu menggunakan benang atau klip untuk mengikat dan menyekat tiub fallopian. Tiub berkenaan juga berperanan menyekat ovum dan sperma bersenyawa.
Berbanding implan atau kaedah lain, ikat peranakan tidak mengganggu sistem pengeluaran hormon yang lain.
Ia tidak menjejaskan kesuburan, kedatangan haid lancar dan pengeluaran susu badan tidak berubah.
Puan, proses pengeluaran susu banyak bergantung pada psikologi terutamanya rangsangan sentuhan dan hisapan daripada bayi.
Selain itu, puan perlu mengambil makanan seimbang untuk memastikan susu ibu cukup.
Ramai percaya lobak putih boleh merangsang pengeluaran susu ibu, namun tiada bukti yang kukuh.
Untuk merangsang pengeluaran susu ibu, puan boleh mendapatkan ubat di farmasi seperti metoclorpamide dan motilium. Semoga jawapan yang diberikan memberi pencerahan kepada puan.
ANEKDOT
Jenis-jenis kaedah perancangan keluarga yang popular:
1. Suntikan hormon
- Hormon sintetik berfungsi mencegah ovulasi. Lendir serviks lebih pekat dan menyukarkan pergerakan sperma serta dinding rahim menjadi nipis hingga tidak sesuai untuk pelekatan janin. - Berkesan selama 12 minggu (tiga bulan). Suntikan susulan harus diberikan setiap 12 minggu untuk memastikan ia tetap berkesan.
2. Pil perancang
- Terdapat dua jenis pil iaitu pil kombinasi estrogen atau progesterone dimakan selama 21 hari dan kedua pil progestrone dimakan selama 28 hari dan berterusan. Jika terupa mengambil pil risiko untuk mengandung adalah tinggi.
3. Alat IUCD
- Intra Uterine Contraceptive Device atau dipanggil IUCD diperbuat daripada bahan khas yang mempunyai benang. Ia dimasukkan ke dalam rahim melalui faraj dan dikeluarkan apabila genap tiga tahun.
- Berfungsi menghalang sperma daripada memasuki rahim dan mencegah pelekatan janin pada dinding rahim.
4. Bilateral tubal ligation
- Kaedah kekal untuk menghalang proses berlakunya persenyawaan antara benih telur dan sperma. Menggunakan benang atau klip untuk mengikat dan menyekat tiub fallopian. Ia menghalang proses persenyawaan.
5. Implan
- Sejenis rod plastik berbentuk batang mancis yang terdiri dari hormon progestin sintetik.
- Dimasukkan bawah kulit selalunya pada bahagian lengan.
- Hormon yang dikeluarkan akan bertindak menghalang kesuburan dan ovulasi tidak berlaku.
Profil
DR Norleen Mohd Saleh merupakan Pakar Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Pakar Avisena, Shah Alam Selangor.