LABIS - Hajat seorang pemuda lembam yang mahu memulakan pekerjaan sebagai buruh di projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru di sini, minggu hadapan tidak kesampaian selepas dia maut dalam kemalangan.
Nenek mangsa, Rokiah Md Jim, 68 berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, cucu sulungnya, Mohd Sahiful Nizar, 22, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan lori membawa kelapa sawit di Jalan Sawah Baru-Pekan Air Panas di sini.
Menurut Rokiah, cucunya sebelum itu meluahkan keterujaan untuk bekerja dan memperoleh pendapatan sendiri bagi membantunya dan dua lagi adiknya setelah kematian ibu bapa mereka.
"Dia begitu gembira untuk mula bekerja sebagai buruh di projek landasan berkembar di kawasan Labis minggu hadapan dan saya terkilan hajatnya tidak kesampaian.
"Sahiful sorang pendiam dan banyak membantu adik-adiknya di mana dua orang masih lagi bersekolah.
"Malah, motosikal yang terlibat kemalangan itu juga dibeli menggunakan wang simpanan bantuan kelas pendidikan khasnya beberapa bulan lalu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sawah Baru di sini.
Rokiah berkata, dia tidak menyangka panggilan dibuat Mohd Sahiful pada hari kejadian merupakan perbualan terakhir mereka sebelum cucunya itu diberitakan maut 10 minit kemudian selepas terlibat kemalangan.
"Kira-kira pukul 2.30 petang dia keluar rumah untuk menghantar makciknya Suzana Alwi, 49, mendapatkan rawatan di Klinik Pekan Air Panas.
"Sementara menunggu makciknya mendapatkan rawatan, Sahiful pergi bertemu seorang rakan di sana.
"Tidak lama selepas itu dia menelefon saya memberitahu makciknya tiada di klinik ketika datang untuk menjemput. Saya menyuruh dia pulang kerana beranggapan makciknya yang juga lembam mungkin telah tumpang orang lain untuk pulang ke rumah," katanya.
Katanya, 10 minit selepas, dia terperanjat dan bagaikan tidak percaya sebaik dimaklumkan jiran bahawa Mohd Sahiful maut dalam kemalangan setelah terserempak dengan insiden itu.
Menurut Rokiah, sebelum itu, cucunya juga kerap mengadu bermimpi kedua arwah ibu bapanya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu dan mengajak Sahiful tinggal bersama.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Labis, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.50 petang semalam, sebelum tujuh anggota dan jentera serta kenderaan Utiliti Urvan ke lokasi kejadian.
"Kami terpaksa menggunakan Telescopic Resq Ram bagi mengangkat belakang lori dan mengeluarkan mangsa yang terseret serta tersepit di bahagian tayar belakang sebelah kiri lori yang membawa kelapa sawit," katanya.