PUTRAJAYA - Sebagai mengenang ketokohan dan pemikiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga lebih mesra disapa Tok Guru, usaha menerbitkan sebuah dokumentari mengenai pemimpin tersohor itu sedang dijalankan.
Penerbitan dokumentari itu akan dijayakan sutradara yang juga pelakon, Sabri Yunus dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Sabri berkata, dia menjalankan beberapa kajian sendiri bagi mendapatkan maklumat maklumat penting berkenaan tokoh berkenaan.
"Selain membaca buku-buku, menemuramah orang orang terdekat dengan beliau (Allahyarham Tok Guru), saya juga menonton beberapa filem berkaitan tokoh tokoh agama yang lain,” katanya seperti dilaporkan laman web Yadim pada minggu lalu.
Sebelum itu, Sabri dengan pasukannya mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz di pejabatnya di sini.
Hadir sama mewakili Yadim ialah Penasihat Media Sektor Penyelidikan dan Penerbitan Dakwah, Mohd Shauki Abd Majid.
Menurut Sabri, antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Yadim ialah bentuk penghasilan karya, jalan cerita, konsep, pulangan serta isu hak cipta.
"Usaha ini bukan mudah memandangkan Allahyarham Tok Guru adalah individu terbilang, ketokohan dan pemikirannya dipandang tinggi dalam dan luar negara.
"Namun Insya-ALLAH ia boleh berjaya, karya ini akan dipersembahkan secara unik dan dengan cara yang tidak pernah disentuh sebelum ini,” katanya.
Dokumentari Tok Guru Nik Aziz bakal diarahkan oleh Sabri sendiri selain beliau juga yang akan menulis skripnya.