Iman Zulkarnain gagal dalam bisnes, terjun ke dunia glamor

Iklan
Pelakon, Iman Zulkarnain.

SIAPA sangka seorang yang dahulunya aktif dalam bidang perniagaan kantin, kini sudah bergelar pelakon dan sedang mengorak langkah secara serius dalam lapangan seni hiburan.

Kembara seni Iman Zulkarnain bermula sekitar tiga tahun lalu selepas mengalami kegagalan dalam bidang perniagaan. Bahkan, pelapis baharu ini juga mula menjadi sebutan peminat drama bersiri Nur 2 sejak ia ditayangkan.

Biarpun kecil peranannya namun impak hasil lakonan yang dipersembahkan mencuri perhatian penonton.

"Saya memang tidak pernah menjangka bahawa suatu hari nanti akan berkecimpung dalam dunia seni. Mungkin kerana doa dan masinnya mulut ibu saya agaknya (ketawa). Dari saya di bangku sekolah lagi, ibu memang nak saya masuk dalam dunia ini tetapi saya tak berani.

"Hanya selepas perniagaan saya jatuh, barulah saya mencari ikhtiar lain untuk menyara diri dan keluarga. Nasib saya baik apabila pelakon Emma Akma membawa saya masuk ke dunia lakonan.

"Sejak daripada itu, saya didorong rasa minat untuk terus aktif berlakon. Malah, saya nampak rezeki dalam bidang ini memberi sinar baharu dalam hidup saya,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Taklimat sebelum sesi kawad dimulakan di AMSAS, Kuantan, Pahang, untuk Filem Coast Guard.


Sudah memasuki tahun keempat, Nuriman Zulkarnain atau nama pentasnya Iman Zulkarnain sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki kualiti lakonannya.

"Saya akui masih banyak lagi yang perlu diperbaiki seperti dalam melontarkan dialog, perkembangan karakter sama ada protagonis ataupun antagonis.

"Untuk tampil berbeza dalam setiap naskhah yang dilakonkan, saya perbanyakkan menonton drama dan filem industri tempatan dan antara pelakon lelaki yang selalu menjadi rujukan saya ialah Bront Palarae, Wan Hanafi Sue dan Faizal Hussein.

"Selain itu, saya selalu bertanya kepada pengarah tentang lakonan saya tapi adakalanya saya merasakan jawapan yang diberikan daripada mereka seperti menjaga hati saya. Saya sendiri kurang berpuas hati dengan persembahan yang diberikan,” luahnya mahukan peningkatan dalam prestasi lakonan.

Tidak mudah berpuas hati, Iman mengambil pendekatan dengan menyertai kelas asas lakonan pelakon terkenal, iaitu Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali Ogy Ahmad Daud pada tahun 2017.

"Begitupun, disebabkan kewangan yang tidak mengizinkan saya hanya dapat menyertai sekejap sahaja. Menurut kak Ogy, lakonan saya hanya satu layer sahaja dan perlu diperbaiki dari segi lontaran dialog.

"Selain kelas lakonan, saya juga banyak membaca novel pelbagai genre untuk mempertingkat daya imaginasi supaya dapat menghasilkan gerak lakon yang kreatif,” katanya yang mahu menjadi pelakon serba boleh.

Berkongsi sisi peribadi, Iman begitu terbuka apabila dia mendedahkan sudah mendirikan rumah tangga kepada dua orang perempuan solehah. Lebih menarik, kedua-dua isteri tercintanya itu memberikan tanda sokongan karier baharu Iman.

"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat sebab mendapat sokong penuh daripada kedua-dua isteri tercinta. Sejujurnya, mereka banyak membantu saya dalam menghidupkan setiap watak yang digalas.

"Lagi pun, isteri kedua saya juga seorang pelakon dan usahawan. Cara isteri saya ini, dia selalu carikan saya tawaran-tawaran lakonan, sediakan pakaian untuk ke set penggambaran, kemudian dia gantungkan dalam kereta dan buat salinan skrip. Manakala isteri pertama pula, dia lebih suka membantu saya dalam menghafal skrip,” katanya bertuah dikurniakan isteri-isteri yang memahami.

Iman dan Saharul Ridzwan sedang menjalani sesi menembak di AMSAS, Kuantan, Pahang, untuk Filem Coast Guard.
Iklan


Antara drama pembabitan awal pelakon berusia 28 tahun ini ialah menerusi drama berepisod, Gerak Khas, Cinta Koko Coklat, Suamiku Mr Blind, Nota Buat Cempaka dan Cinta Yang Ku Rasa. Diikuti filem pendek Lagenda Budak Malang, Dorm Puaka dan Bayang. Dalam perkembangan lain, Iman sedang menjalani kursus latihan maritim di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) sebelum memasuki set penggambaran sebuah filem Coast Guard.

Iklan
Iklan
Iklan