Sami mohon maaf, tiada niat guris hati keluarga Adib

Iklan
Rusuhan kuil

SUBANG JAYA - Penjaga Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, SW Ramaji memohon maaf berhubung kenyataannya mendakwa ahli bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dilanggar jentera bomba dalam rusuhan di kuil tersebut, bulan lepas.

Menurutnya, dalam sidang media pada 28 November lalu, niat utama beliau adalah meminta polis menyiasat jika ada sebarang kemungkinan arwah Muhammad Adib dilanggar jentera bomba.

Iklan
Iklan

Jelasnya, beliau tidak berniat langsung untuk mengguris hati keluarga arwah, rakannya atau sesiapa saja ketika meminta polis menyiasat video berkenaan.

"Jika saya ada mengguris hati mereka, tiada sebarang kekesalan untuk saya meminta maaf kepada keluarga yang bersedih kerana kehilangan seorang anak yang berdedikasi kepada kerjanya.

Iklan

"Terima kasih Adib untuk perkhidmatan anda kepada rakyat Malaysia. Anda memang seorang lelaki yang baik dan saya akan selalu berdoa untuk anda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kejadian rusuhan di hadapan kuil berkenaan pada 26 November lepas adalah satu peristiwa hitam kepada negara.

Iklan

"Insiden sebegitu tidak sepatutnya berlaku. Dengan ikhlas, saya menyesali perkara berlaku kepada Muhammad Adib sehingga menyebabkan keluarga mereka suram selepas kehilangannya.

"Saya doakan agar keadilan dapat ditegakkan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan kemalangan jalan raya.

Setiausahanya, VK Regu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila jentera milik JBPM cuba untuk mengundurkan kenderaannya sebelum melanggar mangsa terlibat.

Menurutnya, apabila JBPM cuba untuk ke depan, terdapat kenderaan yang terbakar dan mereka terus mengundurkan jentera kerana bimbang berlaku letupan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyangkal dakwaan tersebut.

Jelasnya, maklumat itu tidak benar dan laporan polis juga telah dibuat pegawai bomba di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

"Saya banyak menerima bermacam-macam laporan berhubung kes ini.

"Polis sedang mengenal pasti individu yang menyebar rakaman video tidak benar itu. Malah kita juga giat memburu perusuh yang memukul mangsa," katanya baru-baru ini.