Polis kenal pasti empat sindiket penyeludupan

Iklan
Antara rampasan rokok yang dirampas pihak PGA dalam tempoh enam bulan ini.

KUALA LUMPUR - Polis kenal pasti pembabitan empat sindiket jenayah terancang sebagai dalang penyeludupan rokok, arak, dadah dan hasil hutan di negara ini.

Pendedahan itu dibuat susulan kejayaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas (BPSK) KDNKA dalam operasi sejak Januari sehingga Jun lalu.

Iklan
Iklan

Empat sindiket itu terbabit beroperasi dengan melibatkan warga tempatan serta keupayaan kewangan untuk menyeludup barang dalam nilai yang besar.

Pengarah KDNKA, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sepanjang tempoh enam bulan operasi dijalankan, seramai 2,129 tangkapan dibuat dengan jumlah rampasan bernilai RM171.2 juta.

Iklan

"Rampasan ini melibatkan pelbagai barang dengan rokok adalah rampasan utama selain arak, dadah, mercun, hasil hutan dan barangan harian.

"Manakala tangkapan adalah melibatkan warga tempatan serta warga asing yang juga dikesan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Iklan
Acryl Sani (kanan) dalam sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya terdapat tiga hingga empat sindiket tempatan terbabit dalam jenayah ini dan usaha menjejak dalang utamanya sedang giat dijalankan.

Katanya, ini adalah kegiatan terancang yang memainkan peranan sama ada membawa masuk atau keluar serta merancang pergerakan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kita tidak tolak kemungkinan ada pembabitan nelayan yang malas dan mencari jalan singkat mendapatkan upah dengan bekerjasama dengan sindiket berkenaan.

"Selain itu, kita juga tidak akan berkompromi seandainya ada warga kita (polis) bersekongkol dengan sindiket ini," katanya.

Antara rampasan arak tidak bercukai yang dirampas pihak PGA dalam tempoh enam bulan ini.

Mendedahkan tentang modus operandi sindiket ini, Acryl Sani berkata, ada antara sindiket membawa masuk barang terlarang menggunakan pintu masuk yang sah, tetapi ikrar sebagai barang lain. Malah ada sindiket yang dikesan masuk menggunakan perairan seperti di kawasan pantai barat, selatan serta utara.

Tegasnya, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan dalam usaha menumpaskan kegiatan penyeludupan, pendatang asing tanpa izin (PATI), aktiviti bot asing serta aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Jelasnya, tindakan juga akan dikenakan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram (AMLA) bagi melumpuhkan aktiviti haram ini.

Antara rampasan rokok yang dirampas pihak PGA dalam tempoh enam bulan ini.