Kerajaan perkenal Sistem kurangkan trafik Pelabuhan Klang

Iklan
Anthony Loke (tiga dari kiri) ketika merasmikan Sistem Cargomove dan Sistem Linkhaul di Majlis Aidilfitri anjuran Lembaga Pelabuhan Klang dan Zon Bebas Pelabuhan Klang di sini hari ini.

KLANG - Pelabuhan Klang memperkenalkan Sistem Cargomove dan Sistem Linkhaul yang pertama di dunia bagi memudahkan syarikat penghantaran mengetahui waktu keluar dan masuk kargo.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dua sistem baharu itu dijangka dapat mengurangkan 20 peratus kesesakan trafik selain meningkatkan tahap kecekapan pemindahan kargo di Pelabuhan Klang.

Iklan
Iklan

Kata beliau, dalam sehari terdapat 8,000 lori kontena di jalan raya kerana mengambil dan menghantar kargo di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat.

"Dengan pengenalan sistem ini, jumlah lori kontena keluar masuk ke pelabuhan dapat dikurangkan kerana ia sudah memaparkan waktu kontena tiba dan perlu diambil.

Iklan

"Jika sebelum ini lori kontena perlu melakukan dua perjalanan keluar masuk, bersamaan dengan empat trip, dengan sistem ini mereka hanya perlu lakukan satu perjalanan sahaja kerana sudah tahu waktu untuk mengambil dan menurunkan kontena.

"Ini dapat mengurangkan kesesakan trafik yang berlaku di Pelabuhan Klang, sekali gus kes kemalangan juga dapat dikurangkan," katanya pada sidang media selepas Merasmikan Sistem Cargomove dan Sistem Linkhaul di majlis Aidilfitri anjuran Lembaga Pelabuhan Klang dan Zon Bebas Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Ean Yong Hian Wah.

Tambah Loke, sekiranya sistem berkenaan berkesan di Pelabuhan Klang, ia akan diperluaskan ke semua pelabuhan di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Pelabuhan Klang mencatatkan peningkatan dalam pengendalian kontena sebanyak 6.6 TEU (bersamaan unit 20 kaki) bagi enam bulan pertama tahun ini berbanding 4.9 TEU bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Kerajaan menyasarkan Pelabuhan Klang melalui dua pelabuhan akan mengendalikan sebanyak 12.85 TEU dan melihat kepada jumlah lima bulan pertama ini kita optimis angka yang disasar akan dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah itu adalah usaha kerajaan dalam meyakinkan syarikat perkapalan antarabangsa agar mengekalkan operasi mereka di negara ini.

"Pada awal 2018 banyak syarikat perkapalan antarabangsa melakukan 'consolidation' antara mereka dan memindahkan operasi ke Singapura, dan kerajaan melakukan beberapa usaha bagi memujuk syarikat ini untuk mengekalkan operasi mereka di sini.

"Hasilnya kita dapat melihat peningkatan jumlah kontena yang dikendalikan dan kini Pelabuhan Klang menjadi pelabuhan ke-12 tersibuk di dunia," katanya.