KUALA KUBU BHARU - Jabatan Pendidikan Selangor mengesahkan menerima laporan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu disyaki dijangkiti influenza B.
Bagaimana pun, sesi perkolahan diteruskan seperti biasa sehingga laporan penuh siasatan diterima daripada jabatan kesihatan.
Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah berkata, tindakan penutupan sementara sesi sekolah hanya dilakukan sekiranya jabatan kesihatan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, keadaan di sekolah dan asrama terbabit masih terkawal, malah ibu bapa dibenarkan membawa pulang pelajar yang mengalami simptom sakit.
"Saya belum terima laporan berapa ramai pelajar yang sudah dibawa balik dan sekarang kita masih bergantung kepada siasatan jabatan kesihatan.
"Kita tunggu jika ada keperluan untuk merehatkan pelajar atau tidak.
"Pada hari ini pun, kakitangan jabatan kesihatan ada datang ke sekolah untuk memeriksa kesihatan dan mengambil sampel darah pelajar," katanya kepada Sinar Harian.
Muhamad Radzi berkata, ibu bapa juga masih menunggu keputusan siasatan dan buat masa sekarang, pihaknya mengambil ketetapan untuk tidak menutup sesi persekolahan di MRSM tersebut.
Menurutnya, pendekatan biasa diambil dengan membenarkan ibu bapa membawa anak mereka yang tidak sihat pulang ke rumah.
Sementara itu Jabatan Kesihatan Selangor mengesahkan 33 pelajar dan guru MRSM Kuala Kubu Bharu dijangkiti influenza B.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, kes pertama direkodkan pada 14 Jun lalu dan seramai 13 orang mendapat rawatan pesakit luar.
Menurutnya, pelajar dan guru terlibat mengalami simptom demam, batuk, selesema, muntah, cirit birit dan pening.
"Status semua kes dilapor stabil sehingga 30 Jun lalu dan tiada kes baharu hingga hari ini," katanya.