KUALA LUMPUR - Mana-mana ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali bertugas, mereka boleh menentukan kedudukan itu pada pemilihan parti akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bukan masa yang baik untuk membangkitkan isu sesuai atau tidak kerana parti itu ada agenda paling penting yang bergerak sebagai blok pembangkang.
Beliau berkata, semua ahli dan pemimpin UMNO perlu kekal bersatu dan memberi fokus pada isu yang lebih besar daripada membahaskan isu kedudukan Ahmad Zahid.
"UMNO perlu memberi tumpuan utama memperkukuh kekuatan parti memandangkan beberapa parti dalam kerajaan sedang berada dalam situasi kucar-kacir.
"Kalau tak puas hati (dengan keputusan Ahmad Zahid), parti kita ada perlembagaan. Setiap tiga tahun, ada pemilihan dalam parti.
"Jadi ketika itu nanti... kita fikirkan (kedudukan Ahmad Zahid), cuma dalam keadaan sekarang, tak perlu fikir soal jawatan dan soal pertandingan, banyak isu lain.
"Soal utama sekarang bukan wajar atau tak Presiden kembali atau siapa patut jadi Presiden kerana ini sudah diputuskan sewaktu pemilihan UMNO yang lepas,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang menjawab pertanyaan media sama ada keputusan Ahmad Zahid sesuai pada waktunya memandangkan UMNO kini dilihat semakin kukuh di bawah pimpinan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada pemilihan parti 30 Jun tahun lalu, jawatan Presiden UMNO menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Ahmad Zahid berjaya mengatasi bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah serta dua yang lain.
Ahmad Zahid, menang selepas mendapat 93 undi, jauh meninggalkan dua pencabar utamanya, Khairy yang memperoleh 51 undi dan Tengku Razaleigh meraih 23 undi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri membayangkan wujud kumpulan dalam UMNO yang tidak senang dengan kembalinya Ahmad Zahid menerajui tampuk pimpinan parti.
"Ia adalah masa yang sesuai beliau kembali bagi mereka yang bersetuju untuk beliau kembali, dan ia bukan waktu yang baik untuk mereka yang tidak bersetuju beliau kembali.
"Jika semua pihak menyokong Ahmad Zahid, maka tiada isu (ahli UMNO berpecah), tapi jika semua ada pandangan masing-masing dan berterusan dengan perbezaan, parti akan berpecah,” katanya.