Dua kilang perabot hangus terbakar

Iklan
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api kebakaran di premis kilang perabot terbabit yang terletak di Kampung Paya Jaras Dalam.

SUNGAI BULOH - Dua kilang perabot kelas B dan C musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku di Lorong Khalifah Zakaria 2, Kampung Paya Jaras Dalam, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.42 petang dan tiba di lokasi berkenaan 10 minit kemudian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sejurus tiba, pihaknya mendapati dua premis kilang perabot tersebut sedang marak terbakar dan kerja-kerja pemadaman dilakukan dengan segera bagi mengelakkan api merebak.

"Selepas api berjaya dipadamkan, kilang perabot kelas C yang berkeluasan 80x100 kaki persegi itu didapati mengalami kebakaran 100 peratus.

Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api kebakaran di kilang perabot terbabit dariapda merebak.

Iklan

"Manakala kilang perabot kelas B itu pula hanya mengalami kebakaran 20 peratus melibatkan bahagian belakang premis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Hazrin berkata tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku sewaktu kebakaran tersebut.

Iklan

Beliau berkata, menerusi siasatan awal, pihaknya juga mendapati pemilik premis kilang terbabit gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan mengikuti Uniform Building By Law 1984 (UBBL).

"Buat masa ini, forensik bomba masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa terlibat,"katanya.

Dalam pada itu, Hazrin berkata, pihaknya turut berdepan beberapa kesukaran sewaktu operasi pemadaman antaranya keadaan laluan yang sempit dan tekanan air sedikit rendah.

Namun begitu, tambahnya, hasil tindakan pantas anggota bomba, api kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan penyelamat.