SHAH ALAM - Dakwaan mengenai pelantikan lima Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang baharu yang dilihat bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dinafikan.
Penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ini kerana setiap strategi atau tindak-tanduk politik secara dasarnya memiliki motifnya yang tersendiri.
"Mungkin benar dan mungkin tidak atau ia berlaku secara kebetulan.
"Dakwaan seperti ini kita tidak boleh tepis kerana ada kemungkinan ia saling berkaitan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Semalam, UMNO mengumumkan pelantikan lima MT yang baharu berkuatkuasa serta-merta sehingga tempoh Majlis Kerja Tertinggi 2018-2021.
Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut dipersetujui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaras dengan Fasal 9.2.8 Perlembagaan parti.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO umum lima Ahli Majlis Tertinggi baharu
Bagaimanapun, Awang Azman turut berpendapat, pelantikan itu dibuat sebagai strategi untuk mengukuhkan kedudukan UMNO sendiri di beberapa negeri tertentu di seluruh negara.
"Pelantikan ini dibuat untuk mengukuhkan parti itu sendiri berdasarkan beberapa kriteria justifikasi tertentu yang ditetapkan oleh presiden," katanya.
Antara lima MT baharu yang dilantik adalah Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi (Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat) Datuk Johan Abd Aziz (Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat), Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin (Ketua UMNO Bahagian Bagan), Datuk Yaakub Khan (Ketua UMNO Bahagian Sepanggar) dan Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii (Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh).