KUALA LUMPUR - Ibu bapa diingatkan untuk memantau pergaulan dan penggunaan media sosial anak mereka bagi mengelak terpengaruh dengan pemikiran negatif.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Choo Lily berkata, tidak dinafikan hari ini salah satu sebab remaja menghilangkan diri adalah lari mengikut kekasih.
"Ya, itu adalah antara satu sebabnya punca kanak-kanak dan remaja hilang.
"Bagi menangani perkara ini, kita memang ada buat pelbagai kempen dan sebagainya. Kita seru ibu bapa ambil berat pantau pergerakan serta pergaulan rakan anak-anak mereka. Pantau dengan siapa anak berjumpa dan berkawan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, selain itu, ibu bapa juga harus pantau media sosial anak mereka dan ini sememangnya harus diambil berat.
Katanya, ini bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku terhadap kanak-kanak dan remaja termasuklah kejadian jenayah seperti rogol dan cabul.
"Dalam media sosial misalnya, pemantauan memang penting untuk ibu bapa lihat kalau sekiranya ada tawaran dari orang tak dikenali melalui chatting yang hendak memperdaya mereka," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Lari ikut kekasih antara punca kes remaja hilang'
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH- Pandan) berkata, lari mengikut kekasih antara lima punca utama kes kanak-kanak dan remaja hilang di negara ini selain mencari kebebasan diri daripada belenggu keluarga, mengikut ajakan rakan, pertelingkahan keluarga dan tidak minat belajar dan mahu bekerja.
Dr Wan Azizah berkata, daripada segi jumlah kehilangan kanak-kanak dan remaja yang dilaporkan hilang mengikut statistik Polis di Raja Malaysia (PDRM), bagi tahun 2011 sehingga Mei 2019 adalah berjumlah 15,042 orang.
"Dengan pecahan mengikut negeri yang tertinggi ialah Johor sebanyak 2,372 kes (16 peratus), Selangor 1,911 kes (13 peratus), Kedah 1,526 kes (10 peratus) dan Sabah 1,488 kes yang lain-lain saya bagi secara bertulis dan Perlis paling kecil 298 kes," katanya.
Tambahnya, terdapat penurunan kes kehilangan kanak-kanak dan remaja dari tahun 2011- Mei 2019.
"Untuk makluman sebanyak 15,042 kehilangan ini sebanyak 14,679 orang telah dijumpai semula, manakala 363 yang hilang masih belum ditemui malangnya 26 ditemui mati," katanya.