Empat ditahan bersama syabu bernilai RM15,400

Iklan
Abdul Rahim (dua, kanan) bersama barisan pegawai menunjukkan dadah yang berjaya dirampas daripada empat suspek dalam dua serbuan berasingan Isnin lalu dan semalam.

KOTA BHARU - Empat termasuk seorang wanita warga Thailand ditahan dan ketulan kristal seberat 103 gram dipercayai dadah jenis syabu bernilai RM15,400 dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Seberang Pasir Mas, Salor dan Jalan Telipot di sini bermula Isnin hingga semalam.

Kedua-dua serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hasil maklumat awam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, serbuan pertama pada jam 6.30 petang di Salor membabitkan penahanan seorang wanita warga Thailand juga ibu kepada tiga anak dan sejumlah 50 gram anggaran berat kasar ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu bernilai RM7,500 ditemui.

"Kami menerima maklumat berhubung kegiatan berkaitan dadah oleh sepasangan suami isteri di rumah itu dan bertindak melakukan serbuan. Ketika diserbu, wanita terbabit bersendirian di rumah dan berada dalam keadaan mencurigakan.

Iklan

"Pemeriksaan di sekitarnya menjumpai satu beg berzip bercorak jalur hijau di bawah meja kayu bawah rumah tersebut. Di dalamnya mengandungi 61 paket plastik dengan setiap satunya berisi ketulan kristal dipercayai syabu,” katanya.

Menurutnya, suspek berkahwin dengan lelaki tempatan bekerja sebagai mekanik dan mempunyai anak berusia satu hingga enam tahun.

Iklan

"Suspek tidak mempunyai rekod lampau namun urin yang dijalankan mendapati positif dadah jenis methamphetamine. Susulan itu, suspek ditahan reman selama seminggu sehingga 8 Julai ini bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di IPD, di sini hari ini.

Sementara pada serbuan kedua pula, katanya, tiga lelaki berusia 37, 38 dan 42 tahun ditahan di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Telipot pada jam 5 petang semalam kerana penemuan 53 gram ketulan kristal dipercayai syabu bernilai RM7,900.

"Pemeriksaan menjumpai paket-paket berisi ketulan kristal syabu tersebut di ruang tamu tingkat satu rumah berkenaan dan siasatan awal dipercayai ia untuk dipasarkan di sekitar bandar ini.

"Semakan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati masing-masing mempunyai rekod lampau antara satu hingga empat kes berkait kesalahan dadah dan urin mereka juga positif methamphetamine,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman seminggu sehingga 9 Julai ini dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.