MELAKA TENGAH - Kira-kira 132 penumpang penerbangan pesawat AirAsia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), di sini petang tadi.
Dalam kejadian lebih kurang jam 2.50 petang, penerbangan dari Melaka ke Pulau Pinang itu terpaksa dibatalkan setelah mengalami masalah sistem navigasi di menara kawalan udara.
AirAsia kemudian mengambil tindakan awal dengan menyediakan beberapa buah bas untuk penumpang pesawat AK6285 itu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) bagi menaiki pesawat lain ke Pulau Pinang.
Difahamkan terdapat juga penumpang yang mengambil keputusan untuk menunggu penerbangan ke destinasi sama esok.
Sementara itu Ketua Menteri, Adly Zahari ketika dihubungi berkata, pihaknya telah memanjangkan perkara itu kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan menganggap ia sebagai insiden terpencil.
"Kerajaan negeri sedia bekerjasama rapat dengan CAAM untuk mengenal pasti masalah sebenar," katanya.
Dalam pada itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Sofi Wahab yang dihubungi akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan dalam masa terdekat ini.
Sinar Harian Isnin lalu menyiarkan AirAsia telah memulakan operasinya di LTAM dengan memperkenalkan laluan baharu dari Melaka-Pulau Pinang dengan kekerapan satu penerbangan setiap hari.