SUNGAI PETANI - Dua lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan seorang peniaga di Kawasan Perusahaan Sungai Petani semalam.
Kedua-duanya berusia 44 dan 49 tahun direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Permohonan reman dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sungai Petani, Mohammad Alif Abdul Aziz hari ini.
Terdahulu, tangkapan ke atas kedua-dua lelaki dibuat pada jam 1.30 pagi tadi dalam serbuan dijalankan di sekitar Sungai Petani.
Ia susulan laporan polis yang dibuat oleh peniaga berusia 50 tahun itu yang pada mulanya diajak suspek untuk keluar minum pada jam 4.15 petang semalam.
Bagaimanapun, ketika mangsa tiba di lokasi kejadian iaitu satu ruang pejabat, pintu dikunci sebelum tiga lelaki bertindak menyerang dengan menumbuk muka, menendang seluruh badan dan pukul menggunakan rotan serta besi.
Dalam kes berkaitan, mantan exco Pulau Pinang, Lydia Ong Kok Fooi juga tampil membuat laporan polis mengatakan dia diugut oleh suspek sama.
Laporan polis dibuat Lydia pada jam 11 malam tadi atas faktor keselamatan diri dan keluarga.